Dipuji Cantik, Kain Layah Terapung Mas Idayu Curi Perhatian Netizen

Penyanyi dangdut popular, Mas Idayu, 50 tahun telah mengakhiri hidup solo selepas 15 tahun. Mas Idayu selamat bernikah dengan penerbit eksekutif TV3, Muhammad Sufian Che Isa, 51, dengan sekali lafaz pada jam 10.40 pagi, semalam (16 September).

Majlis pernikahan dihadiri sekitar 100 anggota keluarga dan kenalan rapat serta menyaksikan pengantin perempuan menerima mas kahwin bernilai RM1,001 dan tujuh dulang hantaran berbalas lima dulang.

Namun, apa yang menarik perhatian ramai apabila penyanyi Mas Idayu mengenakan veil atau kain layah terapung bersama persalinan yang dipakai pada majlis resepsi di Kuala Lumpur, malam semalam.

Perancang perkahwinan yang juga pereka busana berkenaan, Anas Abdullah berkata, dia menggunakan 18 biji belon bagi membolehkan kain layah tersebut ‘terbang’.

Tambahnya lagi, dia bersama ‘skuad cantiknya’ turut melakukan latihan bagi sesi tersebut selama tiga hari bagi memastikan ia menjadi seperti yang diharapkan.

“Bila Mummy (Mas Idayu) nak kahwin, saya bincang dengan dia nak buat sesuatu yang luar biasa dan lain daripada yang lain. Jadi, apa kita bincang adalah veil terapung pertama di Malaysia. Hari ini terbukti, veil berkenaan berjaya dipakai Mas Idayu.

“Keseluruhan ada 18 belon dengan veil sepanjang 15 kaki. Selama tiga hari kami buat latihan dan percubaan untuk menerbangkan veil ini. Alhamdulillah, malam ini berhasil.

“Memang penat, tapi Mummy cakap ia memang berbaloi. Sebab dia orang pertama yang pakai macam ni. Dia memang puas hati,” katanya.

Menurut Anas, kos gaun perkahwinan Mas Idayu dan suaminya mencecah sekitar RM12,000.

“Dua tahun pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak majlis perkahwinan yang wedding of the year. Jadi, bila Mummy nak kahwin kami memang sasarkan majlis wedding of the year.

“Apabila kami bagi pendapat, dia terima. Dia juga berikan kepercayaan sepenuhnya kepada saya untuk menguruskan semua majlis. Alhamdulillah, inilah hasilnya,” katanya.

Dianggarkan 320 tetamu hadir pada majlis resepsi malam tadi, terdiri daripada keluarga kedua belah pihak, rakan artis, media dan kenalan.

Antara artis yang hadir ialah Ziana Zain, Erra Fazira, Ella, Fauziah Latiff, Datuk Hattan, Hazama, Black Hanifah, Johan, Ozlynn Wati, Liza Hanim, Nabil Ahmad, Amelina, Ieda Moin dan ramai lagi. Turut hadir bintang dari Indonedia, Soimah dan penyanyi dari Singapura, Kak Ros.

Untuk rekod, penyanyi lagu Cintaku 100 Percent ini pernah berkahwin dengan pelakon Aman Graseka pada 1997 namun bercerai pada 2006. Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan seorang puteri, Nur Dayini Asyiqah, 24 tahun.

Video yang tular di laman TikTok

@mediahiburanofficial Majlis Sanding Sufian Che Isa & Mas Idayu #MHnews #MediaHiburan #fyp ♬ original sound – Media Hiburan