Dibangunkan Dengan Kos RM520 Juta, Taman Tema MAPS Ditutup Bermula Hari Ini

Setelah desas-desus berkenaan Penutupan operasi, akhirnya Taman Tema Movie Animation Park Studios (MAPS) mengumumkan akan mula ditutup hari ini, 28 Januari 2020 sehingga ke suatu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

Notis penutupan itu dikeluarkan oleh The Receiver and Manager Animation Theme Park Sdn Bhd (ATP), daripada Messrs Ernst & Young.

Segala kesulitan akibat penutupan MAPS amat dikesali, menurut notis berkenaan.

Pada 4 Dis lepas, media tempatan melaporkan bahawa Affin Investment melantik Datuk Duar Tuan Kiat dari Messrs Ernst & Young sebagai penerima dan pengurus hartanah milik ATP, yang juga operator MAPS.

Untuk rekod, Movie Animation Park Studios atau MAPS Perak (Movie Animation Park Studio Perak) ialah sebuah taman tema di Ipoh, Perak, Malaysia yang diwujudkan daripada usaha sama antara Perak Corporation Berhad dan Sanderson Group.

MAPS pada mulanya dirancang untuk dibuka pada tahun 2015, tetapi tarikh pembukaan itu ditunda hingga 26 Jun 2017.

Taman tema ini ialah taman tema animasi yang pertama di Asia yang mengandungi tarikan berdasarkan animasi seperti DreamWorks Animation dan The Smurfs dan dibina dengan harga RM520 juta.

Ia menempatkan kedua-dua Harta Intelek antarabangsa dan tempatan termasuk watak-watak DreamWorks, The Smurfs dan BoBoiBoy dan mempunyai lebih daripada 40 tarikan di enam zon bertema.