Dedah Kena Tipu & Alami Kerugian, Zara Zya Akui Takkan Serik Berniaga

Menjadi seorang usahawan berjaya bukanlah satu perkara yang mudah malah ia sememangnya mengambil masa yang agak lama. Fasa jatuh dan bangun dalam berniaga itu boleh dikatakan sebahagian asam garam dalam kehidupan. Apa yang pasti kegagalan adalah satu pengajaran agar terus menjadi yang lebih baik.

Iospital phone repair gombak
Terbaharu, pelakon terkenal Zara Zaya mendedahkan pernah melalui waktu sukar dan mengalami kerugiaan dalam perniagaan. Namun menyifatkan perkara sebegini tidak pernah mematahkan semangatnya untuk terus maju ke hadapan.

Menurut Zara Zya atau nama sebenarnya Zainurul Razia Mohd Zainuddin ini percaya kerjayanya sebagai anak seni tidak akan bertahan lama. Oleh sebab itu, dia memutuskan untuk memiliki produk sendiri.

“Awal terlibat dalam perniagaan dahulu saya fikirkan jumlah pengikut di media sosial sudah cukup untuk membantu, namun sekarang saya sedar perlu ada pasukan hebat dalam untuk sama-sama bekerja. Jadi setiap orang ada peranan masing-masing…”

“Saya sudah melalui untung rugi dan pernah ditipu. Namun semua itu tidak pernah mematahkan semangat untuk terus berniaga. Memang ada rasa putus asa sekejap, bagaimanapun apabila bangkit saya sedar perlu lakukan sesuatu…”

“Bagi saya sampai bila hendak berlakon kerana perjalanan dalam industri seni di Malaysia ini singkat. Disebabkan itu saya perlu ada perniagaan sendiri…”katanya.

Tambah anak kelahiran Perak ini lagi, dia sedar dengan isu seorang selebriti yang mengeluarkan produk baharu pasti akan menjadi sasaran ramai pihak.

“Semestinya saya sudah bersedia apabila ada orang mahu mencari kesalahan apabila produk ini mula digunakan nanti. Orang mahu tahu hasil penggunaannya selain bahan-bahan digunakan…”

“Saya tidak takut dengan semua itu kerana sebelum ini pernah mencuba sendiri dan dapat merasakan kesan baiknya. Selain itu pasukan dalam perniagaan ini juga sentiasa peka untuk berdepan dengan situasi sedemikian..” jelasnya.

Dalam pada masa yang sama, pelakon yang terkenal dengan watak Aisya menerusi drama Risik Pada Hati ini menjelaskan apa yang dilakukan olehnya sekarang adalah supaya namanya kekal relevan dalam industri.

Malah Zara tidak pernah sesekali terfikir untuk berhenti karier lakonannya apabila menceburi bidang perniagaan.

“Tak pernah fikir pun untuk berhenti atau perlahankan kerjaya seni. Tetapi mungkin apabila usia sudah meningkat nanti saya hanya jadikan lakonan sebagai hobi atau melepaskan rindu peminat…”

“Sekarang ini rasanya saya sudah punya ‘brand’ yang cukup baik sebagai seorang Zara Zya. apa yang perlu dilakukan adalah untuk jaga nama baik dan kekal bertahan..”ujarnya