China Nafi Intip iPhone Trump, Malah Cadang Trump Gunakan Huawei

New York Times telah melaporkan bahawa pengintip China dan Rusia boleh mendengar perbualan Presiden USA, Donald Trump yang dibuat pada iPhone.

Kenyataan ini telah menarik respon luar biasa daripada jurucakap kementerian luar negeri China.

Sekiranya Trump prihatin tentang keselamatan iPhone beliau, Trump boleh mempertimbangkan beralih kepada Huawei, atau memotong komunikasi sama sekali, kata Hua Chunying, jurucakap kementerian luar.

Hua menafikan laporan Times dan menyifatkannya sebagai contoh “berita palsu”.

“Melihat laporan ini, saya rasa ada di Amerika yang bekerja keras untuk memenangi Oscar untuk skrip terbaik,” kata Hua pada taklimat tetap kementerian di Beijing, Khamis.

Menurut laporan Times, agensi pengintip Amerika telah mendapat maklumat bahawa China dan Rusia sedang menggodam panggilan telefon Presiden, sebagai usaha China untuk menggunakan maklumat tersebut untuk mencegah peningkatan perang perdagangan dengan USA.

Sebelum ini, USA dan Australia telah menghalang Huawei daripada membekalkan teknologi mereka kepada pihak kerajaan.

Huawei berkata mereka tidak akan menjual telefon pintar Mate 20 dan Mate 20 Pro yang baru di USA.