“Cantik tak seiring perangai!” Curi Baju Di Mall, Lelaki Dedahkan Identiti Wanita Muda Ini

Seorang wanita yang merupakan ‘instafamous’ telah ditahan polis selepas disyaki cuba mencuri 21 pakaian di sebuah butik di pusat beli-belah di Bangsar, Kuala Lumpur semalam.

Walau bagaimanapun, cubaannya itu gagal selepas ia disedari pekerja butik berkenaan.

Menurut Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Zairulnizam Mohd Zainuddin @ Hilmi, pihaknya menerima maklumat daripada penyelia butik berkenaan mengenai kejadian itu pada 6.30 petang.

“Ketika penyelia terbabit membuat pemantauan di butik itu, dia melihat suspek dalam keadaan mencurigakan dan dilihat mengisi beberapa pakaian ke dalam beg butik berkenaan.

“Suspek berusia 28 tahun itu kemudiannya dilihat keluar dari butik itu tanpa membuat pembayaran menyebabkan penggera di pintu keluar berbunyi.

“Semasa pemeriksaan dilakukan, suspek gagal mengemukakan resit pembelian sebelum dia ditahan pihak pengurusan butik berkenaan bagi diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zairulnizam berkata, pihaknya turut merampas 21 pakaian dianggarkan bernilai RM4,310 yang cuba dicuri suspek terbabit untuk siasatan lanjut.

“Suspek direman selama dua hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan jenayah di daerah ini boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields di talian 03-22979222 untuk tindakan lanjut,” katanya.

Menerusi satu perkongsian di Twitter, lelaki ini mendedahkan instagram wanita tersebut yang dikatakan mencuri pakaian di pusat membeli belah Mid Valley.

“Rupa cantik tak seiring perangai! Ambassador of Anytime Fitness Malaysia, Alya Abdul tertangkap atas kesalahan mencuri di sebuah butik pakaian bertempat di Mid Valley semalam. SANGKAK!”

Menurutnya, wanita terbabit merupakan ambassador bagi sebuah pusat gimnasium terkemuka di Malaysia.

Malah, dalam gambar yang disertakan oleh pengguna Twitter itu, jelas terlihat baju-baju yang dicuri diletakkan di dalam beg kertas sebelum berjaya ditangkap.