“Tak boleh terus label sebagai murid yang malas atau bermasalah.” Anak Penjual Ulam Tiada Buku Latihan, Tindakan Luar Jangkaan Guru Buat Ramai Tersentuh

Selain alatan menulis, antara keperluan yang perlu murid sekolah bawa adalah buku latihan untuk menyiapkan kerja rumah yang diberikan oleh guru.

Iospital phone repair gombak

Pun begitu, perlu kita ingat tak semua yang hadir ke sekolah datang dari latar belakang keluarga yang senang.

Begitulah kisah yang dikongsikan oleh seorang guru sekolah rendah berkenaan salah seorang anak muridnya.

Menerusi satu perkongsian oleh guru bernama Asraf Selajudin itu, dia menerima maklumat mengenai murid perempuan tersebut yang langsung tidak mempunyai buku latihan.

“Pagi tadi aku dapat tahu ada seorang murid yang tak ada sebuah buku latihan pun.

“Bila aku tanya murid ini, ‘Ayah kerja apa?’ Dengan sayu dia menjawab, ‘Ayah dah meninggal dunia, cikgu. Saya tinggal dengan mak’,” tulisnya mengimbas kembali perbualan itu.

Yang lebih menyentuh hati Cikgu Asraf, dia dapati ibu kepada murid itu menjana pendapatan dengan hanya menjual ulam.

Situasi ekonomi keluarga itu menjawab persoalan tentang punca murid berkenaan hadir ke sekolah tanpa membawa sebarang buku latihan.

“Ibunya mencari rezeki hanya dengan menjual ulam-ulaman. Bukan sengaja ibunya tak mahu beli buku latihan tetapi keadaannya buat masa sekarang tak begitu mengizinkan,” tambahnya.

Susulan itu, Cikgu Asraf yang berasal dari Pulau Pinang itu bergegas membeli set lengkap buku latihan untuk murid berkenaan di koperasi sekolah.

“Ya, set lengkap. Lepas ini, tak perlu dah ibunya nak beli lagi,” katanya mengenai sumbangan itu sedikit-sebanyak dapat meringankan beban ibu tunggal itu.

Menurut Cikgu Asraf, dia menyerahkan set buku latihan tersebut kepada murid terbabit selepas tamat sesi persekolahan.

“Terima kasih cikgu,” ucapan murid itu dengan wajah ceria.

“Aku doakan si anak kecil ini terus berjaya. Bila murid tak bawa buku latihan, tak boleh terus label sebagai murid yang malas atau bermasalah.

“Kita kena tahu apa puncanya. Sebab setiap keluarga ada kisahnya tersendiri,” katanya yang juga dikenali dengan ‘Kelas Satu Minit’ di Facebook.

Malah perkongsian Cikgu Asraf yang mempunyai kira-kira 43,000 pengikut di Facebook turut mengundang sebak ramai, terutamanya ibu tunggal.