Bedah Siasat Selesai, Jenazah Dibawa Pulang Dengan Helikopter

Jenazah Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim dibawa keluar dari perkarangan Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN), Hospital Kuala Lumpur, di sini, pada  7.18 pagi selepas selesai proses bedah siasat.

Jenazah Muhammad Adib dibawa keluar dari IPFN menggunakan van jenazah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) diiringi pasukan pengiring JBPM dan Polis Diraja Malaysia untuk dibawa ke kemudahan Airod, Subang.

Allahyarham Muhammad Adib akan diterbangkan menggunakan helikopter di lapangan terbang berkenaan ke Kedah untuk dikebumikan di Kampung Tebengau, Kuala Kedah atas permintaan keluarga.

Terdahulu, jenazah Muhammad Adib dimandi, dikafan dan disolatkan di perkarangan IPFN yang disertai lebih 50 jemaah terdiri daripada pegawai kanan dan anggota bomba.

Bapa Muhammad Adib kelihatan sugul ketika dibawa ke HKL awal pagi Selasa. – Bernama

Setibanya jenazah Muhammad Adib di Kedah, JBPM akan mengadakan istiadat pengebumian kebombaan sebagai tanda memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham.

Jenazah Muhammad Adib dijangka dikebumikan selepas solat Zuhur.

 

Allahyarham sebelum ini, menyertai operasi memadam kebakaran di hadapan kuil apabila beliau ditemui tidak sedarkan diri dipercayai akibat dipukul.

Susulan insiden anggota bomba berusia 24 tahun itu, Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk Ab Rashid Ab Wahab berkata kes itu kini diklasifikasikan semula sebagai kesbunuh. – Bernama