Dapat RM10Ribu Pada Usia 12 Tahun, Instafamous Cilik Ini Cari Duit Poket Sendiri

Siapa sangka, ketika usia baru menganjak 12 tahun, gadis ini mampu menjana pendapatan sendiri hampir RM10,000.

Iya, mungkin kedengaran mustahil, namun itu jumlah yang pernah diperoleh Aliya Maisarah Ismail ketika aktif melakukan ulasan berbayar (paid review) di laman Instagramnya tiga tahun lalu, lapor HMetro.

Remaja yang kini berusia 15 tahun, Aliya Maisarah mula belajar untuk berbelanja menggunakan duit sendiri hasil servis ulasan berbayar itu tanpa mengharapkan lagi wang pemberian ibu atau bapanya.

Aliya Maisarah menyedari pengikutnya di laman sosial itu mula bertambah selepas kerap berkongsi gambar wajahnya yang disolek sendiri seperti wanita dewasa menerusi akaun Instagramnya, @liyamaisarah_.

Menurutnya ketika itu dia gemar melihat gambar wajah wanita yang disolek cantik dan meniru gaya solekannya.

Kemudian Aliya akan berkongsi hasilnya di Instagram.

“Ketika itu, saya gemar tengok gambar wajah wanita yang disolek cantik tidak kira siapapun. Saya tiru solekannya, ambil gambar dan kongsi di Instagram.”

Tambahnya, dia juga aktif bermain aplikasi Musical.ly yang terkenal pada masa itu dan pada masa yang sama dapat menambah jumlah pengikut di Instagram.

“Pada masa sama, saya juga aktif bermain aplikasi Musical.ly, sekali gus memperoleh pengikut di situ yang kemudian turut mengikuti saya di Instagram.

“Seingat saya, rata-rata pengikut Instagram saya memuji saya kerana berkebolehan mekap sendiri pada usia masih kecil.

“Ada juga yang tanya jenama alat mekap yang saya gunakan, puji pemakaian saya dan macam-macam lagi. Mungkin itu juga faktor mereka mengikuti saya,” katanya.

Jelas Aliya Maisarah, sedikit demi sedikit pengikutnya bertambah dan dia mula fikir untuk memanfaatkan kelebihan itu dengan mencari duit poket sendiri.

“Maka di situ bermulanya saya tawarkan khidmat ulasan berbayar dengan caj RM30 untuk setiap ulasan. Ketika itu, pengikut saya mencecah 80,000.

Aliya memberitahu, dia mla menaikkan caj sedikit demi sedikit berkadaran dengan penambahan jumlah pengkut di laman Instagramnya itu.

“Sambutan sangat hebat walaupun saya naikkan caj sedikit demi sedikit sehingga ratusan ringgit mengikut jumlah pengikut.”

Walaubagaimanapun, kini Aliya terpaksa memilih untuk melakukan ulasan berbayar kerana sibuk dengan jadual lakonan.

“Kini, saya terpaksa memilih untuk lakukan ulasan berbayar disebabkan jadual agak padat sejak saya mula berlakon dalam drama untuk Astro Ceria mulai Mac tahun ini,”

Akaun Instagram milik Aliya kini sudah mencapai jumlah pengikut seramai 1.2 juta orang.