Baru Tamat Kuarantin, Caprice Isytihar ‘Perang’ Terhadap Predator Seksual dan Munafik

Umum mengetahui, penyanyi rap tanah air, Caprice sehingga kini tidak pernah lekang dek kontroversi sehingga ramai netizen mula menzahirkan rasa tidak puas hati kepadanya sejak dia mempunyai masalah dengan seoang pendakwah bebas dan juga beberapa rakan artis yang lain.

Terbaharu, penyanyi rap itu memuat naik ig story bahawa dirinya telah selesai 2 minggu kuarantin dan akan pulang namun dia sekali lagi telah menunjukkan ura-ura pergaduhan antara dirinya dan juga beberapa orang yang lain.

“Esok  saya bebas. Hari ini adalah permulaan perang saya melawan predator seksual, pedofilia dan orang-orang munafik.”

“Saya tidak akan pernah berhenti selagi orang itu tidak meringkuk dalam penjara. Ingat itu.”

 

View this post on Instagram

 

A post shared by Caprice (@capriceofficial)

Dengan amaran yang diberikan oleh Caprice itu, ramai netizen yang beranggap bahawa penyanyi rap itu akan melakukan sesuatu namun tidak jelas lagi maksud di sebalik kata-katanya.

Ugutan Bunuh Bukan Bahan Jenaka

Menurut Caprice, dia akan mengambil tindakan atas apa yang telah berlaku kerana setiap hari dia mendapat ancaman dan ugutan bunuh dari orang yang tidak dikenali.

“Mungkin untuk sesetengah orang, ugutan bunuh, cabar jangan masuk Penang atau Pahang atau mana-mana mereka nak tunggu, satu perkara yang lawak.”

“Tak lawak. Semua itu dibuat oleh orang yang memiliki akaun media sosial. Mungkin kalau kalian atau ahli keluarga dapat ugutan bunuh, mesti akan marah juga.”

“Sejak orang itu fitnah sampai satu Malaysia kecoh, hari-hari saya terima macam-macam ugutan bunuh.”

Katanya apa yang dilempar kepadanya selama ini adalah fitnah dan meminta orang yang memfitnah dirinya untuk bersiap sedia mencarinya di akhirat nanti.

“Kalian tunggu. Saya seorang yang penyabar dan takkan berhenti. Apabila kebenaran dirungkai, saya berharap kalian semua si dungu siap-siap betulkan tetapan Google Maps atau Waze untuk cari saya di padang mahsyar nanti.

Bukan itu sahaja, Caprice turut berkata bahawa dia akan mengambil tindakan undang-undang dan ingin berdepan untuk menyelesaikan masalah.

“Dekat dunia, yang berani ugut, kita ada undang-undang. Jumpa saya depan-depan dahulu baru selesai.”


Terdahulu, Caprice mendedahkan dia telah mendapat 60 ugutan bunuh selepas dakwahnya disalah erti oleh beberapa pihak.

Dua bulan menghabiskan masa di Jordan dan Mesir termasuk gagal memasuki Palestin, nama Caprice menjadi perbualan satu Malaysia apabila dia didakwa ‘tidak sebulu’ dengan pendakwah bebas, berkaitan isu bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin.