Baru Dapat Hadiah Dari PM, Sugu Pavithra Terima Gaji YouTube Tertunggak Sejak Januari

Pasangan YouTuber terkenal dan sedang melonjak naik yang menggunakan nama Sugu Pavithra mengucapkan rasa syukur setelah penantian untuk mendapatkan gaji daripada laman YouTube sejak Januari lepas berakhir hari ini.

Menurut S Pavithra, dia datang ke Pejabat Pos Besar Perak dari Sungai Siput untuk membuat tuntutan bayaran gaji tertunggak itu sebaik menjadi rakan YouTube (YouTube Partner) dengan penuh kegembiraan dan berbekalkan beberapa perancangan untuk keluarga.

Ibu kepada dua anak yang berasal dari Buntong itu berkata, gaji sulung sebagai YouTuber antaranya akan digunakan untuk membeli pakaian baharu untuk dirinya serta ahli keluarga lain.

“Kami bukan orang senang. Sekarang sudah dapat gaji walaupun tidak banyak seperti yang dihebohkan di media sosial, tetapi saya dan suami sangat gembira kerana lama menunggu dengan penuh sabar.

“Saya akan gunakan untuk beli pakaian, membuat rawatan rambut dan membeli barangan kelengkapan sembahyang di rumah,” katanya kepada BERNAMA di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Pavithra dan suami M Sugu, 29, menafikan mereka membuka beberapa akaun Facebook dan Instagram atas nama Sugu Pavithra sejak 16 Mei lepas, sebaliknya hanya mempunyai akaun YouTube.

“Saya berharap kawan-kawan warganet dapat membantu laporkan kepada pihak berkuasa perkara ini kerana saya bimbang ada yang akan mengambil kesempatan,” katanya.

Sebelum ini, seorang Youtuber telah mendedahkan anggaran pendapatan Sugu Pavithra menerusi Youtube.

Menerusi perkongsian seorang Youtuber channel Juzairi Share, dia memuat naik satu video yang mendedahkan anggaran pendapatan yang diperolehi oleh pasangan itu dari video-video yang dimuatnaik oleh mereka di Youtube.

Di dalam video tersebut, Juzairi mendedahkan anggaran pendapatan bulanan yang diperolehi oleh Sugu Pavithra.

Anggaran tersebut dikira berdasarkan data dari laman web Socialblade yang boleh menganalisis jumlah subscribers, video dan anggaran pendapatan bulanan.

Walau bagaimanapun, perlu diingatkan anggaran pendapatan Youtuber ini hanyalah berpandukan jumlah subscribers dan jumlah tontonan.

Kebiasaannya bayaran Youtuber Malaysia jauh lebih rendah daripada anggaran yang ditunjukkan.

Semoga pasangan Sugu Pavithra terus berjaya di masa hadapan dan menjadi inspirasi semua untuk berjaya seperti mereka.