Bapa Mertua Terjatuh Ke Dalam Lubang Lif Selepas Pintu Lif Dibuka Oleh Menantunya

Seorang lelaki warga emas terjatuh dari ketinggian 8 meter ke dalam lubang lif dan meninggal serta-merta selepas menantunya membuka pintu lif untuk memeriksa punca perkhidmatan lif itu tergendala, lapor sebuah laman web Sina.

Kejadian itu telah dirakam kamera litar tertutup (CCTV) dan klip video itu tersebar di media sosial China sejak Jumaat, 5 Oktober lalu.

Dua lelaki terbabit dilihat sedang menunggu lif sebelum si menantu yang dikenali sebagai Zhou, mengambil keputusan menggunakan kuncinya untuk membuka pintu lif tersebut.

Sebaik saja pintu lif berjaya dibuka, mangsa yang berada di belakang terus berjalan melangkah masuk ke pintu tersebut tanpa menyedari lif belum tiba. Mangsa terjatuh ke dalam dan terus meninggal di tempat kejadian.

Netizen yang menonton video viral itu kemudian mempersoalkan apakah tujuan Zhou membuka pintu lif itu dan mula mempertikaikan apakah benar kejadian yang berlaku itu adalah satu kemalangan yang tidak disengajakan?

Ada yang mula menyalahkan Zhou kerana tidak bersabar sehingga menjadi punca kematian bapa mertuanya.

Zhou berkata dia membawa bapa mertuanya pulang ke rumah mereka di Cengong untuk menyambut Hari Perayaan Kuih Bulan pada 24 September. Selepas itu, bapa mertuanya mahu menziarah saudara maranya yang tinggal di kawasan tersebut.

“Kebetulan, bangunan itu juga merupakan bangunan dibawah seliaan saya,” kata Zhou yang merupakan juruelektrik yang syarikatnya dilantik oleh pihak pengurusan bangunan kediaman itu.

Semasa menunggu lif di tingkat satu, Zhou berkata dia menyedari ada masalah dengan papan digital di tepi lif tersebut. 

“Saya tidak dapat kedudukan lif itu yang terkini di tingkat berapa dan anak panahnya juga tidak jelas,” kata Zhou yang kemudian mengambil keputusan untuk memeriksanya.

Zhou kemudian membuka pintu lif yang membawa kepada kejadian yang tidak diingini itu. 

“Selepas membuka pintu lif, saya terus pandang ke dalam dan terlupa tentang bapa mertua saya, yang berada di belakang,” kata Zhou.

Zhou berkata, dia cuba menahan bapa mertuanya itu tetapi gagal.