Pengguna jalan raya yang melakukan enam kesalahan utama sepanjang Op Selamat 14 2019 sempena Tahun Baharu Cina akan dikenakan saman maksimum RM300 serta-merta, lapor Bernama.

Menurut Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim, saman mandatori bernilai RM300 itu akan mula dikuatkuasakan di seluruh negara pada 29 Januari hingga 12 Februari ini.

Menurutnya, enam kesalahan utama itu ialah;

  1. memandu di lorong kecemasan,
  2. memotong di garis berkembar,
  3. menggunakan telefon bimbit semasa memandu,
  4. potong barisan,
  5. melanggar lampu isyarat dan
  6. memandu melebihi had laju.

Sementara itu, Noor Rashid juga berkata, dua lorong kecemasan lebuh raya PLUS di negeri Perak akan dibuka sempena Op Selamat 14 ini.

“Laluan berkenaan ialah laluan antara Simpang Pulai-Gopeng berdekatan Hentian Sebelah Simpang Pulai di antara kilometer(KM) 287 hingga 289.95 dan laluan dari Slim River menghala ke Sungkai di KM367. 3 (arah utara).

“Langkah itu dibuat bagi memastikan kelancaran jalan raya berikutan laluan berkenaan didapati antara yang mengalami kesesakan teruk setiap kali musim perayaan,” katanya dalam sidang akhbar pada Selasa.

Turut hadir, Pengerusi PLUS Malaysia Berhad (PLUS), Datuk Mohd Sheriff Mohd Kassim, Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail dan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Datuk Azisman Alias.

Mengulas lanjut, Noor Rashid berkata, anggota polis juga akan ditempatkan di kedua-dua laluan itu bagi memastikan kelancaran jika berlaku kecemasan.

“Kita tiada masalah untuk membenarkan PLUS untuk buka laluan kecemasan ini jika ia boleh mengurangkan masalah kesesakan,” katanya.

Sementara itu katanya, dengan tema yang sama iaitu ‘Rumah Selamat, Selamat Sampai ke Destinasi’, statistik Op Selamat tahun lalu menunjukkan penurunan kes kemalangan maut iaitu 226 kes berbanding 257 (2017).

“Ini menunjukkan usaha polis dan agensi berkaitan lain dalam beri kesedaran kepada masyarakat berkaitan pematuhan undang-undang jalan raya telah beri impak positif.

“Walaupun statistik kes kemalangan meningkat iaitu 21,041 kes tahun lalu berbanding 20,752 (2017), tapi ia seiring dengan pertambahan jumlah kenderaan di seluruh negara.

“Bagi tindakan saman pula catat peningkatan 130,155 saman yang mana sebanyak 385,547 saman dikeluarkan tahun lalu berbanding 255,392 tahun sebelumnya,” katanya.

Beliau berkata, analisis terhadap Op Selamat sebelum ini mendapati, sikap pemandu yang tidak mematuhi undang-undang jalan raya dan pentingkan diri sendiri jadi punca peningkatan kemalangan.

"Your favorite story, whatever it might be, was written for one reader." Brian Bloom, 5 to 7.