Bakat Main Bola Sejak Dalam Perut Ibu, Tendangan Si Cilik Sentiasa Gol Siap Pandai Tiru Gaya ‘Siu’ Ronaldo

Walaupun masih kecil, ibu bapa pasti boleh tahu apa yang diminati oleh anak-anak mereka ataupun ke arah mana kencenderungan si cilik itu.

Iospital phone repair gombak

Dari situ, ibu bapa boleh menyokong bakat anak mereka secara tidak langsung menghargai pemberian itu.

Persis seperti pasangan suami isteri, walaupun anak mereka baru berusia dua tahun enam bulan, tetapi sudah meminati sukan bola sepak!

Bukan itu saja, malah pandai meniru gaya bintang bola sepak Cristiano Ronaldo, yang sering melaungkan ‘Siu’ ketika menjaringkan bola.

Dari baldi, bakul, topi keledar sehinggalah ke set permainan gawang, semuanya mampu dibolosi si cilik ini.

Anis Adibah Hashim, ibu Yusuff Iskandar Mahadir percaya minat suaminya dalam dunia bola sepak menyebabkan sukan itu mula mempengaruhi anak sulungnya ketika masih dalam kandungan lagi.

“Minat Yusuff pada bola sepak sejak dia belum lahir lagi. Setiap malam sebelum tidur, suami saya iaitu bapa Yusuff akan gosok perut (baby bump).

“Setiap kali gosok perut, suami kata bila anak lahir nanti, dia mahu anak minat bermain bola sepak dan jadi pemain bola sepak,” katanya.

Menurut wanita berusia 35 tahun itu, bapanya, Allahyarham Hashim Abdullah merupakan pemain bola sepak Kelantan yang ketika itu Syarikat Kenderaan Melayu Kelantan (SKMK) dan suaminya, Mahadir Othman, 40, aktif mewakili sekolah untuk beberapa kejohanan.

“Suami selalu main bola permainan di hadapan Yusuff. Selalu juga bola tu menyentuh kaki anak yang sedang baring atau meniarap.

“Masuk usia lebih setahun, Yusuff pula semakin obses dengan bola. Hampir setiap hari dia bermain bola di rumah bersama ayahnya,” ujarnya yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan.

Menurut Anis, anaknya tidak seperti kanak-kanak lain yang minat bermain dengan pelbagai jenis permainan dijual di pasaran.

“Yusuff tak akan menangis kalau tak dapat permainan seperti patung Ultraman. Tapi kalau tak dapat bola, dia akan meraung minta belikan.

“Lebih 20 biji bola kami beli untuk Yusuff. Sekurang-kurangnya kena ada sebiji bola di rumah nenek dan ibu saudara yang sering dikunjunginya, serta sebiji bola dalam kereta untuk Yusuff bermain… kalau tak, nanti dia menangis.

“Sebagai kanak-kanak, Yusuff sudah tentu minat menonton kartun dan dia lebih teruja dengan siri animasi Bola Kampung,” katanya lagi.

Lebih banyak menghabiskan masa berlatih di rumah, dia yang merupakan suri rumah menambah, anaknya juga dibawa ke padang berdekatan.

“Yusuff ni aktif, peramah dan bercakap non-stop walaupun kita tak faham apa yang dia cakap sebab pelat. Dia memang susah nak menangis, sangat happy-go-lucky.

“Buat masa ini, Yusuff lebih tahu perkataan gol. Bola pun disebutnya gol. Kalau Yusuff dapat jaringkan goL, ayah dia akan bagi ganjaran ais krim dan pernah sanggup belikan pukul 11 malam,” katanya sambil menambah suaminya meminati Ronaldo dan Manchester United.

Sebagai ibu, Anis berkata dia akan sentiasa menyokong minat dan bidang yang diceburi anaknya termasuk menjadikan pemain bola sepak sebagai kerjaya.

“Kalau Yusuff hanya menjadikannya bola sepak sebagai hobi dan bukan kerjaya, saya tak paksa dan tetap menyokong apa juga selagi ia baik, tidak memudaratkan dan tidak melanggar hukum.

“Sebagai ibu bapa, kita perlu menghargai anak tu walau sekecil-kecil pun pencapaian itu kerana ia cukup bermakna bagi mereka. Dari situ dia akan tunjuk sikap yang baik,” katanya.

Video yang tular di laman TikTok

@mahadir_othman yak yak yerr#pes2022 #fyp #bolasepakmalaysia #yusuffiskandar #2years5months ♬ original sound – mahadir_othman