Bakal Berhijrah Ke Makkah, Zul Ariffin Mahu Mulakan Perniagaan & Kehidupan Baru

Siapa tidak kenal dengan seorang pelakon lelaki terkenal yang sering menjadi bualan hangat netizen di platform media sosial ni kan? Manakan tidak, ada sahaja cerita yang membuatkannya terpalit dengan kontroversi.

Pun begitu, sejak kebelakangan ini, Zul Ariffin atau nama sebenarnya Zulkifli bin Ariffin dilihat memuat naik beberapa foto berada di Dubai, Istanbul dan telah menunaikan ibadah umrah menerusi perkongsian di laman Instagram miliknya.

Terbaharu, Zul Ariffin mendedahkan akan berhijrah ke Tanah Suci Mekah sekitar awal tahun hadapan.

Menurut sumber, pelakon berusia 35 tahun ini menjelaskan keputusannya untuk berpindah adalah atas urusan kerja dan perniagaan.

“Saya merancang untuk berhijrah ke sana kemungkinan pada Januari tahun depan. Sekarang dalam proses nak cari rumah dan lock semuanya. Saya akan tinggal di Makkah. Saya serius, berhijrah ke sana atas urusan kerja dan perniagaan. Saya akan tinggal di sana tetapi saya tetap kembali ke Malaysia” katanya.

Tambah Zul, perniagaan mesin layan diri (vending machine) yang akan diusahakan ini akan beroperasi pada Januari tahun depan sekiranya tiada sebarang masalah dan halangan.

“I’m travelling a lot, saya akan ke New York November ini untuk berbincang mengenai kerja kerana pada bulan Januari perniagaan itu akan memulakan operasinya. Untuk perniagaan ini, saya bekerjasama dengan sebuah syarikat dari Singapura. Bagi saya ini adalah satu peluang…”

“Tak tahu nak cakap perancangan perniagaan itu bermula bila kerana semuanya terjadi dengan begitu pantas” ujarnya.

Walau bagaimanapun, pelakon ini memaklumkan akan tetap berulang alik ke dari Makkah ke Malaysia untuk bidang lakonannya meskipun bakal menjalani fasa baharu dan cabaran sebagai ahli perniagaan. Tambahan pula, itu bukanlah satu alasan untuk memperlahakan kerjayanya.

“Menetap di sana bukan selamanya, saya harus berulang alik, memang akan chaos tetapi tidak mengapa.. saya tidak memperlahankan kerjaya tetapi saya perlu memilih tawaran dengan lebih teliti. Saya masih lagi ada beberapa projek selepas ini…”

“Sejujurnya teruja, bagi saya ia adalah perkara yang sihat. Saya rasa sekarang kalau saya tinggal lama sangat pun tidak bagus.Kita kalau tiada benda nak buat jadi tak produktif, lebih baik penat produktif daripada tidak dan sekarang filem juga dapat kutipan yang bagus..”

“Pawagam pun sudah kembali dibuka selepas COVID dan ramai yang datang menonton filem sebagai tanda sokongan…Kalau anda lihat sekarang filem-filem juga banyak menaikkan pelakon, tiba-tiba pelakon bertambah ramai. Jadi ini merupakan satu persaingan yang sihat dan menyeronokkan, rugilah kalau saya perlahankan kerjaya seni” tambahnya lagi.

Sekadar info, Zul Ariffin bakal muncul di filem seram terbaharu berjudul Talbis Iblis yang akan berada di pawagam 20 Oktober. Filem ini juga turut dibintangi Nasha Aziz, Azira Shafinaz, Amir Nafis, Jay Iswazir, Sherie Merlis, Izzy Reef, Daniella Sya, Zaftfarrel Mikhael Felton dan Putri Syahadah Nurjannah.