Baik Hati Bagi Nombor OTP, Peniaga Char Kuey Teow Terduduk Duit Dalam Bank Lesap Diambil Scammer

Kes scam ini sememangnya sudah lama berlaku malah ianya boleh berlaku dengan pelbagai cara. Sebab itu lah kita sering diingatkan agar berhati-hati dengan segala transaksi yang meragukan dan yang paling utama adalah tidak memberikan butiran penting sama ada butiran kad bank, ataupun maklumat diri pada orang lain.

Seperti kisah yang tular baru-baru ini dimana seorang lelaki telah pun kehilangan lebih RM 5000 yang disimpan di dalam bank mencuri perhatian ramai.

Difahamkan, sebanyak lima kali transaksi pemindahan wang kepada akaun yang tidak diketahuinya berlaku hanya dalam masa kurang daripada lima minit sekaligus membuatkan lelaki tersebut terduduk melihat baki akaun yang ditinggalkan.

Memetik laporan mStar, Fairul Asni Hamzah, 28, berkata pada mulanya dia menerima mesej menerusi aplikasi WhatsApp daripada nombor yang tidak dikenali.

Individu yang memperkenalkan diri sebagai Salina, memberitahu bahawa dia tersilap memasukkan nombor telefon dalam satu urusan jual beli, menyebabkannya tidak dapat menerima mesej di telefon bimbitnya.

“Dia minta saya screenshot dan hantar mesej yang saya terima sebab dia tersalah masukkan nombor telefon yang sebenarnya nombor saya. Saya pula ketika itu sedang sibuk kemas barang jualan dan nak pulang.”

“Pada mulanya saya risau dan saya siap cakap, ‘takut ni scammer’. Dia menafikan dan tak henti-henti mesej. Dia cakap dia susah berniaga dan saya faham struggle nak dapat untung kerana saya juga peniaga.”

“Dapat saja mesej, saya terus screenshot dan tak perasan rupa-rupanya itu ialah mesej OTP (one time password). Balik rumah mandi, baru sempat pegang handphone, tiba-tiba ada notifikasi transaksi.”

“Mula-mula RM2,000 dipindahkan, transaksi kedua RM2,000 lagi. Apabila dua kali transaksi aneh berlaku, saya nak pindahkan wang dalam akaun bank lain tapi tak sempat.”

“Kemudian berlaku lagi tiga transaksi dan keseluruhan wang yang lesap berjumlah Rm5,444. Hanya tinggal baki RM1.97 saja. Lima transaksi berlaku kurang daripada lima minit,” ceritanya

Fairul berkata tanpa melengahkan masa, dia segera bergegas ke balai polis untuk membuat laporan.

“Pukul 1 pagi saya buat report. Polis kata sememangnya ia adalah taktik scammer.”

“Sepanjang malam tu saya tak dapat lelapkan mata. Esok pagi, saya terus pergi ke bank yang berkaitan untuk membuat aduan.

“Namun setakat ini, tiga kali dah pergi bank, sepertinya tiada harapan wang saya akan diperoleh kembali,” ujar pemuda yang mengusahakan gerai char kuey tiow di Felda Jengka 16, Pahang ini.

Mengakui ia adalah berpunca daripada kecuaian diri sendiri, Fairul yang juga bapa kepada tiga orang cahaya mata ini berkata dia sememangnya terkesan namun memilih untuk berlapang dada dan reda dengan ujian tersebut.

“Saya tahu kes scammer sebab selalu baca sebelum ini. Saya sendiri cuba berhati-hati namun apakan daya, ketika itu mungkin sibuk dan didorong rasa simpati kerana ayat-ayatnya… saya jadi mangsa.”

“Tak apalah, saya anggap tak ada rezeki saya. Saya positif Allah nak bagi rezeki lebih kelak. Apabila saya kongsi di Facebook, ramai yang komen dan DM, mereka juga pernah kena dan beri kata-kata semangat. Kawan-kawan pun ramai nak hulur bantuan… terima kasih sangat.

“Ada juga yang kecam sebab saya cuai… tak apalah, mungkin mereka belum terkena. Saya kongsi cerita ini sebagai pengajaran bersama. Saya nak share inilah taktik yang scammer guna jadi beringatlah supaya tak jadi mangsa.

“Kepada mereka yang bergelar scammers, ingat, tak halal dan tak berkat duit tu. Kerja malas, usaha tak nak… hanya tahu menipu. Ingatlah hidup takkan senang dengan menipu,” ujarnya lagi.