“Bagi Yang Ingin Pakai Tudung, Cubalah Ikhlaskan Dan Tenangkan Hati Serta Kuatkan Iman”- Mira Filzah

Dunia artis telah digemparkan dengan pelbagai isu yang hangat diperkatakan antaranya isu artis bertudung yang kini mengeluarkan kenyataan tidka lagi bertudung secara rasmi.

Beberapa bulan lalu, pelakon kecil molek Emma Maembong telah dilanda kontroversi apabila tular beberapa keping gambar miliknya tidak memakai tudung.

Berikutan insiden itu, beliau telah membuat kenyataan tidak lagi bertudung sepenuhnya selepas itu dan selesa dengan imej barunya itu.

Kemudian, dunia hiburan pula sekali lagi dikejutkan dengan kenyataan dari pelakon cantik tinggi lampai Fathia Latif yang turut membuat kenyataan membuka tudung sepenuhnya secara rasmi.

Cerita-cerita yang tidak enak didengar itu seperti menjadi satu trend ketika ini apabila beberapa selebriti yang telah bertahun bertudung membuat keputusan membuka tudung.

Rentetan dari isu hangat ini, turut mengulas lanjut berkenaan isu ini adalah pelakon cantik manis Mira Filzah. Mira Filzah mengakui berasa sedikit ralat dengan isu hangat tersebut. Mengulas lanjut, Mira Filzah mengakui mereka pasti mempunyai alasan tertentu mengambil keputusan tersebut.

Komen Dari Mira Filzah Berkenaan Isu Artis Buka Tudung

Bagi saya, setiap kecaman yang diberi oleh masyarakat sebenarnya tidak membantu seseorang artis itu.

“Pastinya, ada sebab kenapa perkara ini berlaku dan saya rasa tindakan yang paling baik adalah memberi mereka peluang malah tak salah kalau kita beri nasihat dengan cara baik dan lembut. Tapi, saya ada rasa sedikit ralat apabila perkara ini berlaku,” katanya kepada mStar Online.

Selain itu, Mira turut memberi pesanan ringkas khas buat mereka yang ingin bertudung agar sentiasa mengikhlaskan hati untuk berhijab, menguatkan iman dan perbanyakkan membaca ilmu agama.

“Bagi sesiapa yang ingin memakai tudung, cubalah ikhlaskan dan tenangkan hati serta kuatkan iman.

“Rakan-rakan dan persekitaran yang baik juga memainkan peranan penting untuk kita kuatkan iman kerana dugaan pasti akan datang,” katanya.

Biodata Ringkas Mira Filzah

Nur Amirah Filzah binti Badioezaman atau lebih dikenali sebagai Mira Filzah lahir  pada 2 April 1993 dan merupakan seorang pelakon, pengacara, model dan usahawan wanita Malaysia.

Mira Filzah mula menceburkan diri di dalam bidang peragaan sejak berumur 17 tahun, sebelum beralih kepada bidang lakonan. Drama televisyen pertamanya merupakan Dunia Lola di mana beliau memegang watak utama sebagai Lola, sebuah program hijabista yang berkolaborasi bersama Syampu Sunsilk.

Selepas ‘senyap’ dari bidang hiburan selama 2 tahun untuk fokus terhadap pembelajarannya di Universiti Teknologi Mara dalam jurusan Perniagaan Antarabangsa, Mira Filzah tidak menyangka ada tawaran dalam bidang lakonan yang datang kepadanya menerusi drama Eksperimen Cinta yang diterajui oleh Izreen Azminda dan Fahrin Ahmad.

Mira Filzah turut memenangi Anugerah Meletop Era 2016 sebagai Artis Baharu MeleTOP dan Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke-29 sebagai Artis Baharu Wanita Popular.