Apa Sebenarnya Maksud Darurat Yang Diisytiharkan PM? Ini 3 Perkara Utama Anda Perlu Tahu

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah memberi perkenan supaya Pengisytiharan Proklamasi Darurat dilaksanakan di seluruh negara sebagai langkah proaktif untuk membendung gejala wabak COVID-19.

Seri Paduka Baginda turut memberi perkenan untuk tempoh pelaksanaan darurat ini sehingga 1 Ogos, 2021 atau sehingga suatu tarikh yang lebih awal jika angka kes positif COVID-19 harian dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan.

Perkenan tersebut diberikan selepas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin bin Yassin menyembah maklum keputusan Mesyuarat Jemaah Kabinet dan mengambil kira rundingan Seri Paduka Baginda dengan Raja-Raja Melayu.

Menurut Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin perkenan darurat itu mengambil kira keselamatan diri rakyat dan kepentingan negara.

Bukan Rampasan Kuasa Tentera, Perintah Berkurung Tidak Akan Dilaksanakan

Pengisytiharan darurat yang diperkenan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah ini bukanlah satu bentuk rampasan kuasa tentera.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perintah berkurung juga tidak akan dilaksanakan seperti yang dibimbangi rakyat.

“Sebaliknya sepanjang tempoh darurat ini, kerajaan awam akan terus berfungsi. Biar saya tunjukkan kerajaan pembangkang juga akan berfungsi.

“Daripada segi pentadbiran kerajaan, jemaah menteri dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri-Negeri akan terus berfungsi menurut Perlembagaan Persekutuan dan apa-apa ordinan yang dimasyhurkan oleh YDPA dari semasa ke semasa.

“Saya memberi jaminan bahawa jentera pentadbiran dan perkhidmatan awam kerajaan persekutuan dan kerajaan-kerajaan negeri tidak akan terganggu dengan pengisytiharan darurat ini,” katanya dalam Pengumuman Khas Darurat hari ini.

PRU,PRN Dan PRK Tidak Akan Diadakan Semasa Darurat Berkuatkuasa

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, melalui Pengumuman Khas Darurat hari ini memaklumkan bahawa pilihan raya tidak akan diadakan sepanjang darurat berkuatkuasa.

“Sepanjang tempoh darurat berkuatkuasa, Pilihan Raya Umum, Pilihan Raya Negeri dan Pilihan Raya Kecil tidak akan diadakan,” katanya.

Selain itu, beliau turut memaklumkan bahawa Dewan Rakyat tidak akan bersidang sehingga satu tarikh yang ditetapkan oleh YDPA.

Kerajaan Tidak Akan Mencampuri Urusan Mahkamah, Badan Kehakiman Akan Terus Berfungsi Sepanjang Darurat

Badan kehakiman akan dijamin terus berfungsi untuk menegakkan hukum dan keadilan sepanjang tempoh darurat dikuatkuasakan.

Menurut Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, kerajaan tidak akan mencampuri sebarang urusan mahkamah.

“Kerajaan Perikatan Nasional akan terus mempertahankan kebebasan badan kehakiman dan tidak akan sekali-kali mencampuri urusan mahkamah,” katanya.

Perintah darurat telah diisytiharkan oleh YDP Agong pada hari ini dan dijangka akan berkuatkuasa sehingga 1 Ogos 2021 atau lebih awal jika kes harian COVID-19 dapat dibendung.