“Anda tidak akan melihat saya di mana-mana, bukan berlagak diva tapi.. – Ayda Jebat

Pelakon dan penyanyi kecil molek Ayda Jebat memanjatkan kesyukuran dan terharu kerana tahun ini menjadi tahun paling banyak dirinya menjadi duta kepada sesebuah jenama, lapan kesemuanya.

Menurut Ayda Jebat, beliau berasa teruja dengan tawaran tersebut meskipun ramai pendatang baru yang semakin meningkat naik dalam industri, lapor Media Hiburan.

“Alhamdulillah dengan kepercayaan dan amanah yang mereka berikan buat saya. Malah ada yang ingin sambung lagi”.

“Saya rasa bersyukur, tapi sejujurnya saya sendiri tak tahu apa rahsia kalau ditanya tips menjadi pilihan klien”.

 “Cuma bagi saya tuhan tu adillah. Ada benda yang Dia tak bagi, tapi Dia berikan suatu benda yang lain,” ujar Ayda yang turut percaya kepada rezeki.

“Rezeki bagi saya lebih berharga. Soal anugerah atau seumpamanya, saya sudah pernah dapat dulu. Tuhan mungkin nak berikan benda yang baru”.

“Tahun ini, paling banyak saya jadi duta dan saya gembira kerana klien setakat ini pun okay dan berpuas hati,” ujar beliau lagi.

Ayda yang ditemui pada majlis berbuka puasa bersama iftar Ayda Jebat Screamer 2019 di Subang, Selangor.

Pelakon yang berasal dari Melaka ini turut mengulas mengenai gosip yang terpalit pada dirinya sebagai seorang anak seni.

“Kalau bab kontrovesi saya akan cuba jagalah. Memang ada yang cakap kontrovesi itu boleh popularkan kita, tapi bagi saya ia lebih kepada negatif. Selagi boleh elak, saya akan cuba elak”.

“Malah kalau ditanya apa rutin Ayda Jebat, anda tidak akan melihat saya di mana-mana”.

“Bukan sebab kita berlagak diva atau apa tetapi saya perlu untuk jaga diri selain produk-produk yang ambil saya sebagai wajah wakilan,” jelas Ayda.

Ayda Jebat juga merupakan seorang pelakon yang berbakat dan semoga Ayda Jebat terus berjaya dalam industri seni tanah air.