“Anak pelaut kena kuat ya kakak” Budak Perempuan Menangis Lepas Tengok Video Ayah Ucap Hari Lahir Sebelum Kapal Jalan

Berjauhan daripada ayah kesayangan atas tuntunan kerjaya bukanlah sesuatu yang mudah bagi anak-anak kecil. Lebih-lebih lagi kalau anak itu rapat dengan ayahnya.

Iospital phone repair gombak

Sesetengah kanak-kanak mungkin faham akan kerja ketua keluarga tersebut namun tak kurang juga yang sering menangis gara-gara terpaksa berpisah dengan sang ayah buat sementara.

Persis seperti kisah seorang isteri pelaut, Nurhaida Mansor apabila ditanya “Boleh tak kita ‘beli’ ayah?” oleh anak sulungnya, Nur Hana Delisha Ahmad Ridhwan, 9 tahun.

Menurut ibu berusia 33 itu, Hana mengajukan soalan berkenaan kerana masih kurang faham mengapa dia harus berjauhan dengan bapanya, Ahmad Ridhwan Rozahi, 36.

Menerusi video yang tular di TikTok, dilihat Hana menangis sebaik menonton video ucapan ulang tahun kelahiran daripada bapanya yang dirakam awal.

Kata Nurhaida yang menetap di Taman Koperasi Polis, Batu Caves, video itu dirakam secara spontan untuk ditunjukkan kepada suaminya namun tidak menyangka perkongsiannya mendapat perhatian ramai.

“Pada 4 Oktober lalu adalah hari ulang tahun kelahiran Hana jadi saya minta suami rakam video dan buat ucapan hari jadi untuk anak kami itu.

“Saya simpan rakaman video itu dan tunjukkan kepada Hana pada hari jadinya dan nampak dia sedih apabila terus menangis selepas menontonnya.

“Mulanya, saya muat naik video di Instagram (IG) Story kemudian barulah TikTok dan tak sangka pula akan keluar dalam FYP (For You Page) ,” katanya.

Menurut Nurhaida, dia memang gemar merakam video anak termasuk yang bongsu, Nur Hasya Humaira, 6, tetapi tujuannya adalah untuk berkongsi dengan suami.

“Menerusinya, suami boleh tengok perkembangan anak-anak. Ini kerana kami tidak tinggal bersama dan sebelum berkahwin lagi, suami sudah kerja sebagai pelaut dengan kebanyakan masanya di atas kapal.

“Jadi, itu caranya kami berhubung dengan satu sama lain dan saya faham cuma Hana masih kecil jadi kurang mengerti walaupun dia sudah dibiasakan berjauhan dengan bapanya sejak kecil lagi,” katanya.

Bagaimanapun, difahamkan Hana anak yang baik dan mendengar kata malah dia pernah menjelaskan kepada anaknya itu mengapa perlu berjauhan dengan bapa. Pun begitu, Nurhaida faham Hana masih kecil dan mungkin tertanya mengapa bapanya tidak seperti orang lain.

“Lazimnya, suami akan bercuti untuk tempoh sebulan hingga dua bulan. Jadi, waktu cuti memang 24 jam suami bersama anak dan menguruskan mereka. Oleh kerana itu, hubungan Hana dan bapanya semakin rapat jadi ia menyebabkannya (Hana) sedih untuk berpisah.

“Cuma, Hana lebih sensitif dalam hal ini (berpisah dengan ayah) berbanding anak bongsu saya (Nur Hasya Humaira) yang sedih juga tetapi tidak tunjuk melalui ekspresi wajah seperti kakaknya.

“Walaupun boleh berhubung, bukan setiap masa suami dapat hubungi kami kerana ada ketikanya, dia (suami) sukar dapat akses Internet dan kali terakhir kami berhubung sekitar 29 atau 30 September lalu,” kata Setiausaha syarikat itu.

Video yang tular di laman TikTok

@ohbulanofficial “Sebelum kapal jalan ayah dah buat video siap-siap sebab wifi kapal limited. Dia menangis, ibu pun menangis sekali.” #ohbulan #fyp #trending ♬ original sound – Ohbulan