Anak Kerap Sangat Main Beyblade? Cikgu Ini Kongsi Pendapatnya tentang Permainan Ini

Kalau zaman kita kecil-kecil dahulu antara permainan yang paling terkenal adalah gasing kayu atau plastik.

tetapi kini ada ppenggantinya yang agak moden sedikit iaitu Beyblade.

Cara permainannya agak sama walaupun mungkin terdapat beberapa perbezaan kerana permainan ini berasal dari negara Jepun.

Kalau dilihat boleh dikatakan anak-anak terutamanya lelaki pasti akan ada sekurang-kurangnya satu beyblade seorang.

Adakah bagus permainan ini sebenarnya? Cikgu Asyikin melalui perkongsian di Telegram beliau ada memberikan pendapat mengenai permainan ini.

Beyblade VS Handphone

Demam beyblade nampaknya sedang melanda anak-anak kita. Dulu kita pernah merasa demam spinner tapi tak lah sehebat demam beyblade ini saya kira.

Teringat pula kenangan kita dulu-dulu, main ceper, batu seremban, galah panjang, teng teng dan sebagainya.

Saya kira tak salah kita meraikan anak-anak kita untuk bermain berbeyblade. Anak-anak saya tidak terlepas dari ‘demam’ ini termasuk anak perempuan saya.

Daripada pemerhatian saya, beyblade telah memberikan pengalaman yang baru dan positif terhadap anak-anak. Berikut adalah pendapat saya.

1. Beyblade melatih anak-anak mengasah skil motor halusnya kerana anak perlu memutar, memasukkan, menarik, menyambung dan sebagainya. Jadi tangannya serta jarinya bekerja.

Otot-otot serta sendinya bekerja. Ini bagus berbanding hanya memegang handphone yang tiada banyak pergerakan.

2. Beyblade melatih koordinasi mata dan fokusnya. Anak fokus ketika memasang. Fokus ketika beyblade berpusing.

3. Beyblade meningkatkan skil komunikasi dan bahasanya. Anak akan cenderung untuk bermain bersama orang lain.

Dan akan berlakulah komunikasi dua hala. Kosa kata anak akan meningkat dan bahasanya juga akan lebih diperkaya lagi.

4. Beyblade membantu anak bersosial dengan orang lain. Berlainan dengan bermain handphone, anak lebih suka bersendirian dan tidak suka diganggu.

5. Beyblade mengeratkan lagi hubungan kita dengan anak-anak dan di kalangan adik beradik.

Sebagai tambahan, ibu bapa boleh mendidik anak untuk menabung sekiranya mereka suka mengumpul beyblade.

Dan sekarang sudah ada tournament serta pertandingan beyblade, boleh latih anak untuk yakin diri.

Kesimpulannya Beyblade membantu juga anak-anak yang ketagihan gajet.

Namun ibu bapa kena juga pantau dari segi disiplin masa untuk solat dan adab ketika bermain dengan kawan-kawan.

Selamat ber’beyblade’

Ashikin Hashim

Cikgu Tadika Anak Anda

_________

Semoga perkongsian daripada Cikgu Ashikin ini memberikan manfaat kepada semua terutama ibu bapa yang mempunyai anak-anak ang gemar bermain beyblade.