“Anak guam saya dengan rendah diri memohon maaf,” Peguam Remaja Kes Bakar Tahfiz

Kejadian kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah pada tahun 2017 tekah menjadi satu detik hitam buat seluruh rakyat Malaysia di mana 23 penghuninya telah dilaporkan meninggal dunia.

Rentetan daripada insiden itu, seorang remaja berusia 19 tahun telah didapati bersalah dan dijatuhkan hukuman penjara sehingga mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Menerusi laporan Bernama, keputusan yang dibuat oleh Hakim Datuk Azman Abdullah ternyata mengundang sebak dalam kalangan yang hadir.

“Saya mendoakan roh yang meninggal (dunia) dicucuri rahmat oleh Allah SWT, menjadi ahli syurga, begitu juga ibu bapa mereka.”

Di akhir penghakiman semalam, suasana di mahkamah kelihatan sugul dan rata-rata individu yang hadir turut sebak mendengar keputusan yang diumumkan.

Mohon maaf kepada semua

Peguam yang mewakili tertuduh iaitu Mohd Haijan Omar memberitahu anak guamnya memohon maaf kepada semua pihak yang terlibat sepanjang tempoh perbicaraan berlangsung.

Malah menurutnya, anak guamnya bertegas bahawa dia tidak melakukan kesalahan itu dan menafikan sekeras-kerasnya perbuatan tersebut.

“Anak guam saya dengan merendah diri memohon maaf kepada orang yang terlibat atas kesukaran dan kesulitan yang dilalui sepanjang tempoh perbicaraan berlangsung sejak tiga tahun lalu.”

Dalam pada itu, Haijan memberitahu mengenai keadaan anak guamnya sewaktu di penjara, di mana dia telah mengikuti beberapa kelas dan akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atas inisiatif sendiri.

Malah tambah beliau lagi, anak guamnya itu merupakan anak kedua daripada lima beradik dan ibunya merupakan ibu tunggal.

Ayahnya meninggal dunia semasa anak guam berada dalam tahanan reman di penjara.

“Saya difahamkan bahawa ibunya berniaga baju secara dalam talian dengan pendapatan RM2,000 sebulan,”

21 pelajar dan 2 tenaga pengajar

Insiden dua tahun lalu ini terpahat menjadi detik hitam menimpa negara apabila kebakaran berlaku melibatkan bangunan sementara Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah yang terletak satu kilometer dari bangunan asal.

Seramai 21 pelajar tahfiz serta dua tenaga pengajarnya maut dalam perbuatan khianat tersebut.

Siasatan awal polis mendapati kebakaran berpunca daripada ejek-mengejek antara tujuh suspek yang ditahan dan sekumpulan pelajar pusat tahfiz itu.