Amal Gaya Hidup Sihat & Jaga Pemakanan, Pemuda Terkejut Hidap Penyakit Buah Pinggang Usia 24 Tahun

Ramai yang menganggap bahawa hanya mengamalkan gaya hidup sihat pasti selamat daripada mendapat sebarang penyakit kronik. Pun begitu, siapa sangka dalam usia yang cukup muda seorang lelaki ini telah disahkan menghidap penyakit buah pinggang walaupun dia sering menjaga pemakanan.

Mohammad Syahmi Azman atau lebih mesra dipanggil Syahmi ini juga dikenali di laman TikTok kerana dia menyifatkan platform tersebut adalah untuk menyebarkan kesedaran tentang penyakit tersebut.

Memetik sumber, Syahmi mengatakan kisah sedih tersebut bermula ketika umurnya 24 tahun dan dia telah diserang sesak nafas secara tiba-tiba.

“Ketika itu saya ada kursus di Langkawi. Sebelah pagi, saya sempat berjoging lagi tapi malam hari yang sama, saya sesak nafas. Tak pernah jadi macam tu, jadi saya pergi ke hospital di pulau itu. Malam tu waktu ambil darah, doktor beritahu result tak cantik. Esoknya, doktor pakar datang dan buat ultra sound. Dia kemudian dengan sugul beritahu kedua-dua buah pinggang saya kecut…”

“Pada waktu didiagnos kali pertama, penyakit buah pinggang saya dah berada pada tahap akhir. Sememangnya seperti silent killer sebab tak ada simptom langsung sebelum itu” katanya.

Menurut lelaki ini,  apabila mendengar berita tersebut dia tidak dapat menafikan perasaanya bercampur baur kerana memikirkan bagaimana dia boleh menghidap penyakit tersebut.

“Saya seorang yang amalkan gaya hidup sihat, jaga makan, tak merokok tapi ternyata itu bukan lesen untuk tidak terkena penyakit. Orang mungkin fikir puncanya sebab pemakanan. Namun sebilangan yang muda yang hidap penyakit ini adalah disebabkan faktor semula jadi…”

“Saya memang terkejut. Jujurnya, tiga hari sepanjang di Langkawi, saya menangis. Saya hanya beritahu bapa dan rakan sepejabat sahaja ketika itu” ujarnya.

 

Selain itu, dia telah mendapatkan rawatan di di Hospital Kuala Lumpur (HKL) serta menjalani dialisis darah sebanyak lima kali sesi. Sehingga kini,  sudah empat tahun Syahmi masih meneruskan rawatan Continuous Ambulatory Peritoneal Dialysis (CAPD) atau dialisis air.

“Bagi pesakit buah pinggang tahap akhir, ada tiga kaedah iaitu dialisis air, atau dialisis darah atau menjalani transplant. Bagi saya, dialisis air lebih baik sebab tak menyakitkan. Doktor pun sarankan sebab ia menjimatkan dan mempunyai kelebihan dari segi kualiti hidup…”

“Walaupun kena buat empat kali setiap hari, tapi ia boleh dibuat di mana. Kalau dialisis darah, kerana buat dekat center. Kita kena pandai manage masa. Apabila dah jadi rutin so ia bukan satu masalah” tambahnya.

Dalam pada masa yang sama, dia mengakui sukar untuk menerima hakikat bahawa dirinya merupakan salah seorang pesakit buah pinggang. Walau bagaimanapun, Syahmi telah mengambil masa selama enam bulan hanya untuk menghadam situasi itu.

“Ketika didiagnos, saya berusia 24 tahun… cukup muda. Ketika itu, Allah beri rezeki dapat kerja pada usia muda, dapat beli kereta dan rumah… kiranya ia waktu kemuncak untuk capai impian. Sekali, waktu itu juga Allah bagi sakit untuk menguji. Ia satu ujian yang besar buat saya. Memang rasa down. Pernah saya terfikir jangka hayat pasti tak lama…”

“Namun, pertemuan dengan seorang pesakit buah pinggang mengubah persepsi saya. Dia berkongsi cerita, sudah berbelas tahun menjalani dialisis dan wajahnya juga tak seperti orang sakit. Saya banyak belajar sikap positif daripada abang tu, dan bergaul dengan komuniti yang sama. Saya ambil masa betul-betul untuk move on sekitar tiga hingga enam bulan..” ujar Syahmi.



Akhir kata, Syahmi sempat memberikan nasihat agar orang ramai di luar sana tidak membuat sebarang gurauan yang tidak sensitif seperti ‘jual buah pinggang demi iphone’. Lebih-lebih kepada individu yang menghidap penyakit seumur hidup.

“Satu lagi mesej yang saya nak tekankan, usahlah bergurau perkara yang tidak sensitif. Contohnya ada komen gurauan seperti ‘jual buah pinggang ke, tukar buah pinggang dengan iPhone ke’ dan macam-macam lagi. Tak sepatutnya buat gurau hal buah pinggang ni. Perkara melibatkan kesihatan ini sensitif, lebih-lebih lagi ia penyakit seumur hidup. Tolong ada sensitiviti…”

“Selain itu, saya selit juga pasal pendermaan organ. Malaysia antara negara yang rendah tahap kesedarannya mengenai pendermaan organ.Saya tahu ramai rakyat negara ini yang berhati mulia. Kalau ada yang dah ada niat, teruskan ikrar dan mendaftar sebagai penderma organ di MySejahtera” katanya lagi.

Perkongsian akaun TikTok milik Syahmi:

@syahmiazmannn Boleh bergurau tapi bukan dengan cara ini 🫠 . Rasulullah SAW bersabda : “Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari kemudian, maka hendaklah dia berkata perkara yang baik atau diam.” . #pesakitbuahpinggang #kidneyfighter💪🏻 #capd ♬ suara asli – Penyair Emosian