“Aktif pun masuk..” Barisan Peserta GV Musim ke-9 Diperkenalkan, Netizen Beri Pelbagai Reaksi

Rancangan Gegar Vaganza sememanganya tidak asing lagi dalam dunia hiburan tanah air. Seperti yang kita tahu, rancangan ini juga menyaksikan penyanyi profesional lama atau berpengalaman dalam industri muzik di Malaysia bersaing dalam satu pertandingan nyanyian untuk merebut gelaran juara.

Pun begitu, rancangan Gegar Vaganza ini telah bersiaran sebanyak lapan musim dan bakal kembali untuk musim ke-9 pada 18 September ini. Pengacara musim ini akan dikendalikan oleh pengacara Nabil Ahmad dan pelakon popular Elly Mazlein setiap Ahad secara eksklusif menerusi Astro Ria.

Barisan juri juga tetap dikekalkan dengan musim sebelum-sebelumnya adalah maestro muzik tersohor, Datuk Ramli MS, penyanyi legenda Indonesia, Hetty Koes Endang dan guru vokal berpengalaman, Datuk Syafinaz Selamat.

Jika dulu kita lihat penyanyi terkenal yang berasal dari Singapura, Alif Aziz telah dinobatkan sebagai juara Gegar Vaganza musim ke-8. Tahun ini sepertinya sukar untuk menjangkakan siapa yang bakal membawa pulang wang tunai sebanyak RM100,000 dan menyadang gelaran juara.

Antara 13 penyanyi yang akan berentap ialah terdiri daripada enam penyanyi solo wanita iaitu Dina Nadzir, Pat Candy, Tom, Haida Hasnan, Shila Amzah dan Jaclyn Victor. Manakala penyanyi solo lelaki Roy Kapilla, Fuad Rahman, Hazrul Nizam, Bob Yusof, Tomok dan Asheed. Bagi penyanyi berkumpulan VE dianggotai oleh Zaf, Cham, Adeeb dan Hakim.

Penyanyi-penyanyi ini sememangnya mempunyai vokal yang hebat dan dengan tarikan sendiri. Walau bagaimanapun, barisan peserta-peserta yang diperkenalkan untuk musim ke-9 ini telah mencetus pelbagai reaksi netizen di platform media sosial yang menyifatkan rancangan ini sudah lari daripada konsep.

Meninjau di ruangan komen, rata-rata netizen teruja dengan barisan peserta-peserta untuk musim ke-9 itu. Bukan itu sahaja, ada juga yang mempersoalkan penyertaan Shila Amzah kerana pernah menjuarai beberapa pertandingan dan sememangnya aktif dalam dunia muzik.

Antara komen netizen di laman Facebook:

“Tak seronok ambik yang memang advance nyanyi. Ambiklah penyanyi yang dah slow show atau yang tak aktif dah.. ini Shila Amzah confirm lah tapau..”

“Yang masih aktif pun masuk..betul-betul Gegar Vaganza ni dah lari dari konsep asal..lagi lagi Shila baru je menang masked singer Malaysia 2..eh masuk GV pulak.. haha”


“Siapa nak menang macam ni..semua champion..”

“Ini gegar juara antara juara dah ni..lari konsep..”