Tidak dapat dinafikan kos hidup zaman sekarang jauh lebih berbeza dari zaman dahulu. Terdapat banyak keluhan daripada rakyat ekoran kos taraf hidup yang semakin meningkat.

Rentetan dari itu juga, rakyat membuat pelbagai kerja bagi menampung kos taraf hidup yang semakin tinggi untuk pembelanjaan harian, kos bil mahupun persekolahan anak-anak.

Jika dilihat hampir separuh dari isteri di negara ini mula bekerja dan membantu suami bagi menampung pembelajaan hidup. Ramai juga diantara kita yang melakukan pelbagai kerja sampingan bagi menambah pendapatan.

Tidak kurang juga bagi surirumah, ramai dikalangan mereka membuat pelbagai kerja yang mudah dilakukan dirumah untuk menambah pendapatan.

Ramai surirumah melakukan perniagaan urusan jual beli dalam talian, menjual kuih ataupun pelbagai jenis kek dan pencuci mulut. Ini menunjukkan wanita juga berdaya saing seiring dengan pembangunan negara meskipun mereka hanyalah surirumah tangga.

Apa yang lebih menarik disini adalah seorang ibu tunggal mampu menjana pendapatan bulanan dengan menawarkan perkhidmatan melipat baju dirumah.

Seorang ibu tunggal yang dikenali sebagai Afifahtul Munawarah Kassim ini yang mempunyai empat anak berusia sekitar tujuh hingga 14 tahun.

Dia menjana pendapatan bulanan dengan menawarkan perkhidmatan melipat kain baju di bandar raya Johor Bahru. Sehingga kini dia mampu mendapat pendapatan bulanan sekitar Rm900 sebulan.

Menurutnya lagi, kebanyakan pelanggan yang mendapatkan perkhidmatan saya golongan wanita yang menghadapi masalah untuk melipat pakaian.

Ini kerana kebanyakan dari mereka kesuntukan masa sehingga ia terperuk di dalam bakul dalam tempoh berbulan-bulan di rumah mereka.

“Ia termasuk wanita profesional dan bekerjaya, selain dilema itu turut dihadapi suri rumah kerana sibuk menguruskan keluarga hingga tertekan apabila melihat timbunan kain yang menggunung,” katanya kepada Harian Metro.

Ekoran dari itu, kebanyakan perkhidmatannya adalah daripada golongan wanita bekerjaya yang sibuk bekerja sehingga tidak mempunyai masa melakukan kerja-kerja rumah.

Dia gembira berkongsi cerita mengenai pekerjaannya itu dan dia bersyukur diberikan rezeki kerja walaupun hanya menyediakan perkhidmatan melipat baju.

Meskipun ada kalanya dia terpaksa berdepan dengan banyak timbunan-timbunan baju sehingga mengambil masa enam jam untuk dia menyelesaikan tugas itu.

Dia mula menawarkan perkhidmatan tersebut sejak setahun yang lalu, dan wanita itu memberitahu dia tidak malu dengan kerjayanya itu.

Apa yang penting baginya adalah dia mencari rezeki yang halal malah bersyukur kerana pendapatan itu membolehkannya menampung keperluan harian anaknya.

“Dengan berkat kesungguhan saya dan semangat tidak berputus-asa, kini saya mampu menjana pendapatan bulanan kira-kira RM900 sebulan.

“Ada pihak yang mempersenda kerjaya saya ini, namun saya tidak pernah berasa malu bagi melakukannya kerana selain mendatangkan hasil saya juga membantu golongan wanita, terutama yang sudah berumah tangga,” katanya.

Ekoran daripada itu, Afifahtul berpesan dia bersedia memberikan nasihat dan tunjuk ajar kepada wanita diluar sana yang ingin menjadikan perkhidmatan melipat kain sebagai kerjaya berdasarkan pengalamannya.

Pasti menarik bukan mendengar kisah hidupnya dan pengalamannya dalam mencari rezeki bagi menampung kehidupan sehariannya.

Lebih menarik lagi, dia merupakan seorang yang kreatif kerana mampu berfikir mencari peluang dengan keadaannya sebagai seorang surirumah.

Semoga perkongsian ini mampu memberi inspirasi kepada semua wanita diluar sana. Kerjaya ini boleh diceburi oleh surirumah untuk menjana pendapatan mereka sambil boleh bekerja dari rumah.

"If you cannot do great things, do small things in a great way." Napoleon Hill.