“Selalu kena reject” Pemuda ‘Broken’ Nekad Ubah Diri, Kini Akui Ramai Nak Berkenalan Bila Dah Kurus

Lumrah zaman kini, ramai yang menjadikan rupa dan saiz badan sebagai kayu ukur untuk mencintai seseorang sehinggakan berlakunya penghinaan yang membuatkan seseorang itu berada pada titik yang terendah.
Iospital phone repair gombak
Namun, ada juga yang menjadikan segala komen negatif dan segala kekecewaan sebagai penguat semangat untuk berubah ke arah yang lebih baik.

Seperti kisah yang tular baru-baru ini dimana seorang pemuda yang dikenali Muhammad Harith Danish Muhammad Khairi, 20, berkongsi tentang transformasi fizikalnya yang bermula sejak penghujung tahun 2020.

Memetik laporan mStar, dia yang senang disapa Harith berjaya menurunkan berat badan dengan hasil usaha dan kerja keras, sekali gus mengubah banyak aspek dalam kehidupannya pada hari ini.

“Saya memang gemuk sejak kecil. Ketika masuk sekolah menengah, badan saya makin membesar. Sampai satu tahap, berat badan saya mencecah 140 kilogram (kg).

“Ketika zaman sekolah, dah selalu orang judge, ada orang body shaming… itu yang menjadi big why kenapa saya nak turunkan berat badan.

“Broken pun jadi salah satu sebab saya nak kuruskan badan. Dulu selalu kena reject. Tapi sekarang apabila dah kurus dan viral, ramai yang hantar mesej nak kenal,” ujar Harith.


Mengimbas perjalanannya dalam proses menurunkan berat badan, Harith berkata beberapa percubaan terdahulu menemui kegagalan kerana tiada kesungguhan.

Namun, Harith mula melakukan senaman secara berkala sekitar dua tahun lalu dan turut menjaga disiplin pemakanan sehingga dia berjaya menurunkan berat badannya.

“Dulu banyak kali nak diet, tapi tak berjaya. Percubaan saya pada penghujung 2020 nampaknya menjadi. Masa tu saya pun dah habis sekolah.

“Saya betul-betul ikut dan disiplin sehingga dapat capai berat 98 kg. Tapi target saya adalah 88 kg. Proses itu tidak pernah berhenti, sebaliknya masih diteruskan sehingga ke hari ini.

“Dari segi senaman, saya selalu joging. Saya juga buat work out yang lain. Sewaktu proses diet, saya tetap makan nasi. Salah tanggapan orang yang kata tak boleh makan nasi masa diet. Cuma saya tak minum air manis je.

“Air manis paling penting kalau nak turunkan berat. Cheat day pun tak minum air manis. Takut dah start, nanti ketagih, jadi lebih baik tiada cheat day,” ujar Harith yang sudah setahun lebih bermain gim.

“Keyakinan diri yang dulu dan sekarang sangat berbeza. Dulu nak pergi event pun rasa malu. Sesetengah orang mungkin okey je dengan badan dia. Tapi sejak dulu tak suka badan besar. Cuma waktu itu, nak kurus tapi tak jadi-jadi.

“Dulu setiap kali nak raya, baju Melayu kena tempah, sebab saiz seluar besar gila. Dulu saiz pinggang 46. Sekarang saiz 35. Alhamdulillah, sekarang nak lari pun badan rasa ringan,” ujarnya yang aktif dalam sukan ragbi sejak berusia 15 tahun.

Akhir bicara, Harith turut menitipkan pesanan buat individu yang senasib dengannya agar terus bekerja keras dalam mencapai sasaran, sekali gus dapat menjalani hidup yang lebih sihat.

“Pesanan saya, good luck and keep grinding, keep your heart broken. Saya faham, sebab saya dulu pernah gemuk. Yang penting, kita dah tahu apa kena buat, cuma jangan malas. Mulakan langkah pertama dulu,” ujar anak tunggal itu.

Mengenai dirinya, Harith yang menetap di Puchong, Selangor merancang untuk mengeluarkan jenama pakaiannya sendiri tidak lama lagi.

Tekan sini untuk lihat perkongsian.