“Baby empat kaki” Anggap Rezeki Buat Keluarga, Wanita Ini Bela ‘Biri-Biri Angkat’ Seperti Bayi Sendiri

Insan yang sangat cintakan haiwan kebiasaannya memiliki haiwan peliharaan mereka sendiri.

Iospital phone repair gombak

Ada yang memelihara si bulus kucing, si kecil hamster, dan ada juga yang menjadikan kambing sebagai haiwan kesayangan mereka.

Itulah kisah seorang wanita yang memiliki seekor biri-biri baka Barbados Black Belly dan segala video yang dimuat naik olehnya di laman TikTok telah mencuri perhatian orang ramai.

Memetik laporan MStar, Suhana Othman, 41, menyatakan pada awalnya dia tidak pernah terfikir pun untuk membela haiwan itu seperti anaknya sendiri.

Bagaimanapun, akhirnya dia menganggap pertemuan mereka itu merupakan suatu momen indah buat dia sekeluarga.

“Saya tak sangka boleh terjebak. Keluarga saya di Felda Ulu Penggeli, Kluang, Johor memang bela haiwan untuk dijual bagi kenduri aqiqah. Suatu hari saya balik kampung, ada seekor anak biri-biri yang terkapai-kapai selepas kematian ibunya.

“Ayah minta saya tolong selamatkan Abu. Saya tinggal di bandar, duduk pula di taman perumahan. Saya kata pada abah, saya tak boleh jaga. Tapi ayah kata, tolong bagi susu je. Masa tu sayu tengok Abu tiada ibu, siapa yang nak susukan?

“Selepas bincang dengan suami dan anak, kami setuju untuk bawa Abu balik. Tak apalah, kami sama-sama ambil tanggungjawab. Bawa dia balik dulu. Macam mana nak buat, itu fikir kemudian. Saya baru je ambil Abu, umurnya pun tak sampai sebulan lagi,” terangnya.

Menurut Suhana, dia memelihara kambingnya yang bernama Abu Barbados itu seperti seorang bayi walaupun berasa agak kekok kerana sudah 13 tahun tidak menjaga anak kecil.

Bukan itu sahaja, dia turut perlu bangun malam untuk memberikan susu dan menukar lampin Abu, sama seperti menguruskan bayi!

“Hari pertama Abu datang ke rumah, kami pakaikan lampin pakai buang macam bayi. Saya pun banyak belajar dengan Abu. Saya hanya ada anak tunggal, anak pun dah berumur 13 tahun.

“Suasana hidup kami dah berubah, seolah-olah ada bayi. Cuma yang ini baby empat kaki. Kita bangun malam buat susu, tukar Pampers jam 3 pagi.

“Yang menariknya, Abu tak mahu ditinggalkan. Jadi, Abu akan tidur dalam bilik anak saya. Kalau tinggalkan di ruang tamu, Abu akan cari seseorang untuk temankannya,” ulasnya.

Bagi Suhana, dia yakin bahawa ada hikmah yang tertulis di sebalik amanah yang diberikan kepadanya itu dan turut menganggap Abu sebagai satu rezeki buat mereka sekeluarga.

“Hadirnya Abu ni saya tak tahu apa hikmahnya. Tapi saya fikir, Allah pilih kami untuk jaga Abu, pasti ada hikmahnya. Alhamdulillah sejak ada Abu, keluarga kami lebih ceria.

“Sekarang semua benda buat sama-sama. Kami jadi lebih gembira. Abu pula seekor haiwan yang periang,” katanya.

Tidak cukup dengan itu, ramai individu bertindak menghubungi Suhana untuk berkunjung ke rumahnya dan melawat Abu.


“Jiran yang tak pernah lepak pun datang lepak sekarang sejak ada Abu. Setiap malam ada appointment, orang nak datang jumpa Abu. Ramai yang tengok dari TikTok. Yang duduk di taman-taman berhampiran pun kenal Abu,” ujar Suhana.

Video TikTok yang tular:

@abubarbados_ kebetulan yang kami sendiri tidak ketahui hikmahnya. tetapi jadual hidup kami berubah 360° dengan adanya dia.#journeyabu #barbadosblackbellysheep #fyp ♬ original sound – Abu 🐐