Kimba vs Simba! Adakah The Lion King Meniru Kimba The White Lion?

Filem remake The Lion King berjaya mengulangi kejayaan filem asalnya dari segi kewangan di mana filem ini telah berjaya mengutip jualan tiket melebihi 1 billion US Dollar.

Namun disebalik kejayaan demi kejayaan filem ini, filem ini masih tidak boleh melarikan diri dari kontroversi yang telah sekian lama timbul, adakah The Lion King yang ditayangkan pada 1994 meniru animasi Kimba the White Lion?

 

Apa itu Kimba the White Lion?

(sumber wikipedia)

Kimba the White Lion adalah anime yang telah bersiaran di televisyen Jepun dari tahun 1965 hingga 1967, berdasarkan nama manga Jungle Emperor yang disiarkan dalam majalah Manga Shōnen dari tahun 1950 hingga 1954. Merupakan hasil ciptaan Osamu Tezuka, yang juga merupakan pencipta Astro Boy.

Kimba mengisahkan tentang seekor anak singa, dilahirkan di dalam sebuah kapal setelah bapanya dibunuh dan ibunya diperangkap oleh pemburu untuk diletakkan di dalam zoo. Ibunya, Snowene mengasuh Kimba untuk menjadi pemimpin seperti bapanya, Caesar.

Kapal yang membawa mereka kemudiannya dibadai ribut dan membunuh semua orang dan haiwan di dalam kapal tersebut, memaksa Kimba yang terselamat berenang ke daratan dan mencari rumah baru.

Cerita kemudiannya berkembang dan  Kimba bertemu dengan haiwan-haiwan lain dan mula belajar bagaimana menjadi pemimpin sejati seperti bapanya.

 

Kontroversi

Mengambil inspirasi bukan satu masalah yang besar jika diberi kredit yang sepatutnya. Namun kontroversi ini timbul apabila Disney menyatakan dan memasarkan filem ini sebagai filem asalnya dari buah fikiran mereka sendiri yang mana tidak seperti filem-filem mereka sebelum ini seperti Cinderella, Snow White, The Little Mermaid dan Beauty and the Beast yang diinspirasikan dari kisah-kisah klasik dan dongeng dahulu kala.

Susah nak katakan ini hanya kebetulan kerana banyak persamaan yang boleh kita dapati antara Kimba dan The Lion King.

Watak babon yang bijak Rafiki sama seperti Dan’l dan watak burung, Zazu sama seperti Pauley Cracker. Watak musuh mereka juga ada persamaan dimana watak Claw dan Scar merupakan seekor singa yang ingin merebut takhta sebagai raja. Kedua-dua mereka juga mempunyai parut yang sama di mata mereka dan mereka juga dibantu oleh hyena. Kebetulan?

Scar dan Claw (sumber Alli Kat)

Pengarah bersama Lion King, Rob Minkoff menepis kritikan tentang persamaan dengan watak-watak dengan mengatakan ia ” biasa untuk mempunyai watak seperti babon, burung atau hyena” dalam filem-filem yang digambarkan di Afrika.

Kami rasa banyak je binatang lain dekat Afrika tu untuk dijadikan karakter lain. Malah kedua-dua babon yang digunakan juga dari spesies yang sama iaitu mandrill.

 

Beberapa babak dalam filem The Lion King juga mempunyai persamaan dengan Kimba. Babak Simba berkomunikasi dengan bapanya yang telah mati melalui bayangan awan di langit, sama seperti bagaimana Kimba lakukan. Siri kartun The Simpsons pernah membuat parody dalam satu episod mereka (“You must avenge my death, Kimba… er, I mean Simba!”)

Bayangan bapa di awan (sumber Alli Kat)
Parody dari siri The Simpsons

Anda boleh lihat lebih banyak perbandingan dalam video di bawah

Penafian Disney

Disney bagaimanapun menafikan filem The Lion King diinspirasikan oleh Kimba. Apabila disoal oleh wartawan, mereka menyatakan tidak pernah mendengar tentang KImba sebelum produksi dimulakan

“Terus terang, saya tidak kenal dengan [siri TV], Saya tahu satu fakta bahawa [Kimba] tidak pernah dibincangkan semasa saya telah melakukan projek itu,” kata pengarah bersama, Rob Minkoff kepada The Times.

Disebalik penafian Disney, Matthew Broderick yang merupakan suara bagi Simba berkata dalam satu temu bual “Saya fikir [mereka] bermaksud Kimba, yang merupakan singa putih di TV ketika saya masih kecil, jadi saya terus memberitahu setiap orang yang saya akan melakonkan Kimba. ”

 

Disebalik semua ini

Sehingga kini, tiada sebarang tindakan undang-undang terhadap Disney oleh Mushi Production dan Tezuka Productions iaitu syarikat dibelakang Kimba.

Ada mengatakan mereka tidak mengambil tindakan kerana hanya akan membazir wang dan masa disebabkan Disney mempunyai peguam yang lebih bagus.

Presiden Tezuka Productions, Takayuki Matsutani berkata beliau terima apa yang berlaku walaupun setuju ada beberapa babak agak sama antara  The Lion King dan Jungle Emperor.

Beliau juga berkata jika Osamu Tezuka masih hidup, beliau akan berasa bangga jika Disney mengambil inspirasi dari karyanya.

Walau dengan kontroversi ini, Kimba sehingga kini masih mengaum megah di Jepun sebagai salah satu ikon animasi tapi mungkin tidak sekaya Simba.

 

Rujukan: HollywoodReporter