7 Doktor Kemalangan Dalam Perjalanan Tugas COVID-19, Seorang Maut Bersama Bayi

DUA beranak termasuk bayi lelaki berusia sembilan bulan maut manakala tujuh yang lain cedera apabila van dinaiki terbabas di Kilometer 11 Jalan Gua Musang-Kuala Krai dekat Kampung Renok Baru, Gua Musang, hari ini. Dalam kejadian 10.35 pagi, mangsa yang maut dikenali sebagai Dr Nooranisah Mohd Razali, 31, bertugas di Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai [...]

Seorang doktor bersama anaknya berusia sembilan bulan maut manakala tujuh yang lain cedera apabila van dinaiki terbabas di Kilometer 11 Jalan Gua Musang-Kuala Krai dekat Kampung Renok Baru, Gua Musang.

Menurut laporan Harian Metro, kejadian berlaku pada jam 10.35 pagi di mana mangsa yang maut dikenali sebagai Dr Nooranisah Mohd Razali, 31, bertugas di Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai dan bayinya Mohammad Fitri Yusof Muhammad Hafiz Zulhilmi.

Mangsa lain yang cedera ialah pemandu van, Mohd Lazim Abdullah, 56, Dr Siti Salwa Mohamad Shokri, 38, Syahirah Muhamad Razali, 20, Dr Norazma Mohamad, 34, Dr Linda Laili Ibrahim Shukri, 29, Dr Suzuanhafizan Omar, 32, dan Dr Hazirah Sazali, 33.

Menurut Ketua Polis Daerah Gua Musang Superintendan Mohd Taufik Maidin, kemalangan berlaku ketika mereka menaiki van Toyota Hiace dalam perjalanan dari Kuala Krai ke Gua Musang.

Menurutnya, van dari Hospital Kuala Krai itu dipercayai dalam perjalanan ke Hospital Gua Musang (HGM) bagi menjalankan tugas rawatan berikutan penularan wabak Covid-19.

Menerusi perkongsi dari Facebook, Ahmad Zulfahmi memberitahu Allahyarhamah terpaksa membawa anaknya kerana tugas selama seminggu.

“Satu kemalangan telah berlaku melibatkan van dari Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai ke Hospital Gua Musang pada pagi ini.

“Sepanjang wabak COVID19, pembedahan dialihkan ke Hospital Gua Musang bagi memberikan lebih ruang dan kapasiti di Kuala Krai.

“Ditakdirkan Allah, kemalangan berlaku mengakibatkan seorang pegawai perubatan dan anak yang dibawa bersama meninggal dunia. Anak terpaksa dibawa kerana tugas selama seminggu.

“Semoga Syurga buat arwah dan anak. Ini jalan jihad kami”