5 Bulan Kerah Tenaga, Petugas Kesihatan Diberi Cuti Rehat Minggu Depan

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan memberi cuti rehat dalam tempoh seminggu atau dua minggu lagi selain khidmat kaunseling kepada semua petugas bagi memulihkan semangat mereka berdepan cabaran pandemik Covid-19.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, mereka bekerja keras tanpa henti sejak penularan jangkitan Covid-19, selama lima bulan.

“Kita di KKM bekerja siang malam tak berhenti sejak lima bulan, tidak kenal hari minggu dan hari bekerja.

“Apa yang pasti hari ini kita nampak keputusan dan hasil daripada pengorbanan kita, kes semakin berkurangan. Penggunaan wad dan ICU (Unit Rawatan Rapi) juga semakin berkurangan.

“Mungkin dalam masa ini kita akan menggunakan seminggu dua untuk kita memberi ‘time off’ kepada warga kerja KKM secara bergilir-gilir,” katanya dalam sidang media harian Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Bagi khidmat kaunseling katanya, petugas kesihatan akan dibantu mempertahankan diri menghadapi kemungkinan peningkatan kes Covid-19.

Hari ini kes baru Covid-19 mencatatkan 30 kes direkodkan sekali gus menjadikan angka positif harian terendah sejak gelombang kedua pandemik itu melanda negara.

Dr Noor Hisham berkata, kesemua kes baharu tersebut melibatkan penularan tempatan.

“Sebanyak 21 kes telah dikesan dari kluster dan lokaliti di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD),” katanya.

Tambahnya lagi, dengan penambahan tersebut, jumlah kumulatif positif Covid-19 adalah 6,383 kes.

“Daripada jumlah itu, hanya 1,710 pesakit masih dirawat di hospital dan 24 daripada dirawat di unit rawatan rapi (ICU) serta lapan memerlukan bantuan pernafasan,” katanya pada sidang akhbar perkembangan terkini Covid-19 di kementeriannya di sini hari ini.

Beliau berkata, seramai 83 pesakit telah telah pulih dan dibenarkan discaj hari ini.

“Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya adalah sebanyak 4,567 kes bersamaan 71.55 peratus daripada jumlah keseluruhan kes,” katanya.