2 Jam Berdarah Tertusuk Benet M16, Pakaian Askar Melayu Dipamerkan Untuk Tatapan

Adakah anda masih ingat dengan satu kisah di mana seorang tentera yang masih cekal berada di dalam perbarisan walaupun lengannya berdarah tertusuk benet senjata M16?

Insiden yang berlaku pada tahun 2008 itu menjadi tular dan berjaya membuktikan semangat kental dan disiplin anggota tentera tersebut untuk meneruskan tugas perbarisan beliau.

Menurut laporan, anggota Batalion Keenam RAMD, Lans Koperal Zamri Md Sood ketika itu mengalami kecederaan setelah lengan kirinya tertusuk dengan benet senjata M-16.

Rakannya ketika itu secara tak sengaja tertusuk lengan Lans Koperal Zamri dalam perbarisan perarakan keluar padang Panji-Panji Rejiman lama.

Dikatakan luka yang dialami olehnya dipercayai sedalam enam sentimeter pada bahagian lengan kiri.

Biarpun lengan dan bajunya telah dipenuhi dengan darah, Lans Koperal Zamri tekad untuk berada di dalam baris selama hampir dua jam.

bahkan beliau kekal sehingga akhir upacara Penggantian Warna Regimental dan membuatkan orang ramai kagum dengan semangat juang yang ditunjukkannya.

Rentetan daripada itu satu perkongsian di Twitter telah menjadi tular apabila dikhabarkan pakaian yang digunakan oleh Lans Koperal Zamri pada hari itu telah pun diletakkan di kem terakhir beliau bertugas.

“baju dia masih ada di kem last dia berkhidmat . Diawet dan diletakkan didalam balang kaca.”

Menurut seorang pengguna twitter, bajunya itu telah diawet dan dipamerkan di dalam sebuah bekas kaca.

Ramai yang kagum dengan kisah kecekalan Lans Koperal Zamri dan mengharapkan beliau mendapat pengiktirafan yang setimpal.