16 Cedera Akibat Gelongsor Runtuh Di Taman Tema Air

Siapa yang tak suka berseronok di taman tema air? Semua golongan umur suka main air tak kira kanak-kanak mahupun dewasa!

Namun sejak akhir-akhir ini kita sering kali dengar di media tentang kemalangan yang berlaku di taman tema.

Lebih mengerikan kemalangan sehingga meragut nyawa membuatkan orang ramai berfikir banyak kali untuk berkunjung ke tempat berkenaan.

Semalam, tular seramai 16 cedera dalam insiden runtuhan papan gelongsor air berketinggian 10 meter di sebuah taman tema yang dipercayai terletak di Surabaya, Jawa Timur di Indonesia.

Menurut data petugas Agensi Pengurusan Bencana Daerah (BPBD) Surabaya, hampir kesemua 16 mangsa terdiri daripada kanak-kanak.

Ketua BPBD Kota Surabaya Ridwan Mubarun berkata, kejadian dilaporkan berlaku sekitar pukul 1.30 petang Sabtu.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati, kejadian bermula apabila sambungan papan gelongsor air yang digunakan itu tiba-tiba runtuh ketika pengunjung bermain di atasnya.

“Kami percaya punca komponen gelongsor itu runtuh disebabkan oleh strukturnya sudah uzur.

“Kesemua mangsa dihantar ke Hospital Soewandhie dan Hospital Soetomo.

“Lokasi tersebut ditutup serta-merta terutama kawasan taman air bagi membolehkan pihak polis menjalankan siasatan,” katanya.

Menerusi sebuah video TikTok yang dimuat naik oleh sumber @sumeksco pula, pengunjung masing-masing panik di saat melihat gelongsor itu runtuh sekelip mata.

Beberapa mangsa turut dilihat terbaring dengan luka-luka di muka dan dibawa beredar dari situ untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Video yang tular di laman TikTok

@sumeksco Baca Selengkapnya👆#fypシ #tiktoktaiment #tiktokberita #surabaya #kenjeransurabaya #waterpark ♬ suara asli – SUMEKSCO