11 Tahun Jadi Pilot Etihad, Kini Volunteer Pandu Van Jenazah

Penularan wabak pendemik Covid-19 melanda seluruh dunia, tidak dinafikan banyak sektor komersial terjejas teruk.

Sektor penerbangan antara yang terjejas teruk

Sudah tentu sektor penerbangan antara yang terjejas teruk kerana hampir seluruh dunia menyekat pergerakkan secara bebas rakyatnya ke luar negara masing-masing.

Oleh sebab itu, ramai juruterbang dan juga krew kapal terpaksa diberhentikan ataupun mengambil cuti tanpa gaji disebabkan syarikat penerbangan juga mengalami kerugian.

Dari pilot ke pemandu van jenazah

Salah seorang yang turut terkesan adalah Ahmad Rashidi Mohd Nazri yang dahulunya seorang juruterbang pesawat komersial bertukar 360 darjah.

Apa yang lebih menarik perhatian ramai adalah Ahmad Rashidi kini menjadi pemandu van jenazah sejak dua bulan lalu.

Sukarelawan uruskan jenazah golongan tidak berkemampuan

Menerusi Facebook Mohd Zulhairi Zainol yang juga merupakan pengasas Amalteam iaitu sukarelawan menguruskan jenazah golongan tidak berkemampuan telah menceritakan berkenaan ‘pilot’ baharu van jenazahnya.

Malah, lelaki berusia 37 tahun itu bagaimanapun tidak kekok meneruskan ‘kerjaya’ baharunya itu walaupun sebelum ini bergelar Pegawai Pertama Boeing 777 dan mengendalikan pesawat menjelajah seluruh dunia sejak 11 tahun lalu.

Salah seorang juruterbang penerbangan komersial terkemuka 

Menurut Ahmad Rashidi, dia sebelum ini menjadi juruterbang di sebuah syarikat penerbangan komersial terkemuka yang berpangkalan di Abu Dhabi, Emriah Arab Bersatu (UAE) sebelum menyertai skim pemberhentian kakitangan susulan pandemik Covid-19.

Ujarnya lagi, sejak Julai lalu dia kembali ke tanah air dan meneruskan kehidupan sambil mencari peluang lagi untuk kembali menyarung seragam juruterbang yang sudah sebati dengan jiwanya.

Ini adalah masa terbaik saya mencari saham akhirat

“Jika sebelum ini saya sibuk terbang ke merata destinasi seluruh dunia namun selepas berhenti kerja, banyak masa terluang dan saya anggap ini adalah waktu terbaik untuk mencari saham akhirat”.

“Saya bertemu dengan Mohd Zulhairi Zainol yang menjadi sukarelawan pengurusan jenazah percuma Amalteam.

“Jadi saya tawarkan diri untuk menjadi pemandu van jenazah bagi membantu mereka yang kurang berkemampuan,” lapor Harian Metro.

Ini adalah masa untuk kembali membantu masyarakat

Kisah Ahmad Rashidi tular di laman sosial hari ini selepas perkongsian mengenai perubahan kerjayanya menarik perhatian warganet yang memuji tindakan bapa kepada anak perempuan berusia lima tahun ini.

Ujar beliau lagi, walaupun sudah meninggalkan kerjaya dengan gaji yang lumayan namun dia reda dan menganggap ia adalah masa untuknya kembali membantu masyarakat yang kurang berkemampuan.

Saya masih menaruh harapan untuk teruskan kerjaya pada masa akan datang

Malah kepuasan itu terbit apabila melihat mereka yang tidak berkemampuan khususnya dari segi kewangan dibantu dan sumbangan ini dapat membantunya di akhirat kelak.

“Jika kita fikir terkesan dengan pandemik ini tetapi sebenarnya masih ada lagi yang sudah terkesan sejak sekian lama kerana dihimpit kemiskinan dan masalah kewangan”.

“Walaupun tidak lagi bergelar juruterbang, saya masih menaruh harapan agar dapat meneruskan kerjaya ini pada masa akan datang dan berharap industri penerbangan akan kembali pulih,” katanya.

Menjenguk ke ruangan komen, rata-rata netizen turut memuji sikap yang ditunjukkan oleh lelaki tersebut.