Walaupun Berpangkat Datuk Seri, Dr Zulkifli Selesa Duduk Bersila Atas Lantai Menyantuni Orang Asli

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri telah menyertai program Kembara Kasih Mualaf 2020 di Kampung Kuala Boh, Cameron Highlands pada pagi semalam.

Menerusi perkongsian di laman Facebook miliknya, Dr. Zulkifli beramah mesra dan turut menyampaikan sumbangan kepada masyarakat Orang Asli dengan menziarahi beberapa rumah penduduk sekitarnya.

Namun apa yang menarik perhatian warga maya adalah melihat betapa Menteri ini yang merendah diri dan selesa dengan hanya duduk di atas lantai bagi menyantuni warga orang asli di sana.

“Berpagian di Kampung Kuala Boh, Mukim Ulum Tenom, Cameron Highlands dalam program Kembara Kasih Mualaf anjuran bersama Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP).

“Alhamdulillah, tidak terasa 2 jam yang berlalu di sini. Selain daripada pelbagai aktiviti yang telah diaturkan, saya turut menyampaikan sumbangan kepada Masyarakat Orang Asli di sini.

“Kerajaan sedang meneliti untuk menempatkan Guru Takmir dalam kalangan Masyarakat Orang Asli bagi memperkukuhkan pemahaman agama dalam kalangan komuniti ini.”

“Sumbangan berjumlah RM18,050 dalam bentuk wang dan pek makanan daripada JPM (Hal Ehwal Agama), JAWI dan Yayasan Taqwa-MAIWP disampaikan dalam program sebentar tadi.

“Tahniah dan terima kasih saya ucapkan kepada Tok Batin Kg. Kuala Boh, JAWI, JAIP dan semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini.”