Connect with us

Selebriti

[VIDEO] Takhta Dewi Remaja 18/19 Ditarik, Haneesya Hanee Terima Hati Terbuka

Pertama kali dalam sejarah, Haneesya Hanee ditarik gelaran sebagai Dewi Remaja 2018/19, hari ini. Penarikan gelaran berkenaan telah pun dilakukan menerusi suatu sidang media khas yang dilakukan di Nu Ideaktiv, Shah Alam tengah hari tadi, lapor Media Hiburan.

Hadir mengenakan pakaian serba hitam, Haneesya dilihat relak, meski bersedih atas apa yang berlaku.

Faiz Aimman, editor Majalah Remaja, menerusi sidang media tersebut menjelaskan, pemenang tempat kedua pencarian gadis itu, Tia Sarah masih kekal mendukung status sebagai pemenang tempat kedua Dewi Remaja.

Kesimpulannya, tiada sesiapa yang ditabalkan sebagai Dewi Remaja terbaru memandangkan gelaran tersebut hanya dirujuk kepada satu-satu pemenang sahaja.

“Walaupun menarik balik gelaran tersebut (Dewi Remaja 2018/19), tetapi Tia Sarah masih kekal di tempat kedua, Sherin Amiri di tempat ketiga. Sementara Aween Ismail sebagai Dewi Inspirasi dan Arena Iman pula Dewi Faveroite.

“Tiada sesiapa daripada mereka yang akan mengganti atau menyandang gelaran tersebut kerana status itu telah jelas milik Haneesya. Tetapi berikutan insiden yang berlaku kami tidak mengambil pendirian untuk tidak meletakkan pengganti bagi kekosongan berkenaan.

“Demi menjaga kredibiliti Dewi Remaja, kami memutuskan untuk tidak mempunyai pemenang tempat pertama bagi edisi kali ini. Hanya pencarian yang akan datang, kami akan tabalkan penyandang kesepuluh.

“Jadi finalis lain yang mempunyai gelaran akan terus mewakili jenama ini dalam sesi sidang media, bertemu pihak penaja atau sebarang keperluan berkaitan Dewi Remaja pada masa akan datang,” jelas Editor Pengurusan, Fiezreen Ahmad.

Dalam pada itu, Faiz yang mewakili Nu Ideaktiv turut kesal terhadap apa yang berlaku, lebih-lebih lagi ia terjadi setelah pemenang terbaru dimumkan. Perkara telah pun berlaku dan dirasakan tindakan sewajarnya perlu diambil.

Selain itu, turut diperjelaskan bahawa video tular berkenaan berlaku sebelum pertandingan akhir berlangsung. Ia terjadi hampir sebulan sebelum malam final. Jadi pada malam kemenangan, individu terlibat berada di rumah bersama keluarga.

“Apapun, pihak kami memuji akan tindakan Haneesya yang mempunyai keberanian dengan tampil secara profesional demi memperbetulkan keadaan. Kami tetap menyokong perjalanannya dalam apa sahaja yang dilakukan selepas ini,” tambah Faiz.

Haneesya Hanee, gadis berusia 18 tahun ini turut meminta maaf terhadap apa yang telah terjadi dan mengharapkan sokongan berterusan dari para penyokongnya agar menjadi insan yang lebih baik selepas ini.

“Assalamualaikum, jauh dari sudut hati saya minta maaf. Saya mengaku itu salah, itu perbuatan saya dan sedar dengan sebarang keputusan yang bakal diambil pihak Remaja. Saya menerima keputusan penarikan balik gelaran dengan hati terbuka.

“Itu tindakan yang wajar malah sebelum sesi ini, saya sudah sedia untuk mengembalikan gelaran sebab tahu ia sedikit sebanyak boleh menjejaskan jenama tersebut. Saya minta maaf sekali lagi,” katanya dalam linangan air mata.

Haneesya turut meminta netizen supaya tidak menyalahkan ibunya atas apa yang terjadi dan menyifatkan apa yang berlaku menjadikan dirinya lebih kuat dan positif, .

“Bukan salah ibu kerana tidak pandai menjaga saya. Ibu tiada kena mengena kerana ia adalah pilihan saya. Kalau boleh, berikan ruang padanya. Itu sahaja,” terang Haneesya.

Sesi penyerahan kembali replika cek, trofi dan tiara Dewi Remaja turut diadakan. Pemenang tempat kedua pertandingan tersebut turut hadir sama.

Kami mengucapkan selamat maju jaya buat Haneesya dan semoga yang berlaku memberi ruang buatnya untuk terus maju dalam seni.

Continue Reading
Advertisement
Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.