[VIDEO] Suasana Hiba di Rumah Allahyarham Mamat Khalid, Rakan Artis Hadir Beri Penghormatan Terakhir

Hari ini, kita telah pun kehilangan salah satu Pengarah filem terkenal, Mamat Khalid atau nama sebenar Mohamad Khalid.

Difahamkan Allahyarham meninggal dunia selepas jatuh pengsan di kafenya Sarang Art Hub di Tanjung Malim kira-kira jam 12.30 pagi tadi.

Allahyarham yang berusia 58 tahun menghembuskan nafas terakhir ketika dibawa dengan ambulan ke Hospital Slim River.

Alahyarham meninggalkan seorang isteri, Hasmah Hassan serta lima orang anak.

Menurut laporan wartawan Astro Awani, Hasimi Muhamad, jenazah Allahyarham Mamat Khalid akan dikebumikan di Masjid Paloh, Ipoh selepas solat Zohor dan dikhabarkan kini sedang disolatkan di Masjid Sungai Rokam.

Antara yang hadir termasuk penerbit dan pengarah Ahmad Ibrahim, rakan artis, Bell Ngasri, Khir Rahman dan penyanyi tersohor negara, Datuk Awie.

Dikatakan kenalan rapat Allahyarham dan isteri, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang merupakan Menteri Belia dan Sukan turut hadir di kediaman Allahyarham.

Sudah tentu sebagai rakan artis, ada yang sebak bila mengenangkan kenangan bersama pengarah filem tersebut.

Allahyarham cukup disegani dalam dunia perfileman tempatan dan karya-karyanya sering pecah panggung serta memberi kesan cukup hebat kepada penonton.

Antara karya hebat pengarah tersohor itu adalah Man Laksa, Zombi Kampung Pisang, Rock, 16 Puasa dan Hantu Kak Limah.

Sama-sama kita doakan semoga roh Allahyarham Mamat Khalid dicucuri rahmat dan ditempatkan dikalangan orang-orang yang beriman. Al-Fatihah.