[VIDEO] Struktur Kren Launcher Jatuh Hempap Kereta, Dua Pekerja Dilapor Maut

Struktur sebuah kren launcher berhampiran Puncak Banyan, Persiaran Alam Damai, Alam Damai, Kuala Lumpur dilaporkan telah jatuh.

Insiden itu dilaporkan berlaku pada sekitar pukul 8.30 pagi tadi yang mengakibatkan sebuah kereta yang melalui dibawah kawasan pembinaan Lebuharaya SUKE hancur remuk.

Kren Launcher pembinaan lebuh raya itu dilaporkan telah jatuh ke bawah dan menghempap sebuah kereta.

Menurut kenyataan media yang dikeluarkan daripada Bomba, seramai 4 mangsa telah terlibat dalam kejadian tersebut.

 

Kejadian tersebut melibatkan empat orang mangsa terdiri daripada seorang warga tempatan yang memandu kereta Perodua Bezza mengalami kecederaan parah akibat dihempap besi kren launcher.

Manakala tiga orang mangsa lagi merupakan pekerja projek pembinaan. Dua daripada mereka telah terjatuh setinggi 120 kaki dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

 

“Seorang mangsa warganegara Malaysia iaitu pemandu kereta mengalami kecederaan parah kerana kereta beliau telah terhempap besi kren launcher.

“Manakala 3 orang mangsa lagi adalah merupakan pekerja projek pembinaan tersebut dipercayai 2 orang mangsa telah jatuh setinggi 120 kaki dan telah disahkan meninggal dunia.

Seorang lagi mangsa telah tersangkut di landasan pembinaan lebuhraya dan kerja-kerja penyelamatan mangsa sedang dijalankan oleh anggota bomba”, tulis kenyataan tersebut.

Sehingga kini kerja-kerja menyelamat kini giat dijalankan disebabkan terdapat seorang lagi mangsa masih tersangkut di atas landasan pembinaan lebuh raya.