[VIDEO] Pernah Gagal SPM, Kini Pendapatan Lebih RM20,000 Sebulan

KUALA BERANG – Mereka pernah gagal dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), namun atas usaha dan kegigihan bangkit daripada kegagalan, mereka kini bergaji lebih RM20,000 sebulan. Malah, lebih membanggakan, ada antara mereka kini mampu membuka perniagaan sendiri dan mewujudkan peluang pekerjaan, selain mampu membeli aset secara tunai dan menghantar ahli keluarga mengerjakan haji dan umrah berkali-kali. [...]

Walaupun dulu mereka pernah gagal dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), namun atas usaha dan kegigihan bangkit daripada kegagalan, mereka kini berjaya meraih gaji lebih RM20,000 sebulan, lapor HMetro.

Malah, lebih membanggakan, ada antara mereka kini mampu membuka perniagaan sendiri dan mewujudkan peluang pekerjaan, selain mampu membeli aset secara tunai dan menghantar ahli keluarga mengerjakan haji dan umrah berkali-kali.

Itu sebahagian kisah dikongsikan tiga Ikon TVET (Latihan Teknikal dan Vokasional) Pembinaan kelahiran Akademi Binaan Malaysia (ABM) Wilayah Timur, di sini yang kini boleh tersenyum dengan kejayaan mereka dalam kerjaya.

Muhammad Faizal Ismail, 35; Mohamad Badiuzaman Ya Abu Bakar, 34; dan Muhammad Qamarul Auji Amran, 32, yang juga bekas pelatih ABM diangkat sebagai Ikon TVET atas kejayaan mereka dalam bidang kemahiran masing-masing pada majlis pelancaran Jelajah TVET Pembinaan Edisi Terengganu oleh Menteri Kerja Raya, Baru Bian, di sini, semalam.

Muhammad Qamarul Auji, dari Kuala Terengganu berkata, kemahirannya dalam bidang perpaipan (jururegah) hasil kursus diikuti di ABM bukan sahaja memberinya peluang memperoleh gaji lumayan, tetapi juga belayar ke seluruh pelosok dunia, selain kini mampu membuka perniagaan sendiri.

“Saya pernah bekerja di Arab Saudi dengan gaji bulanan terakhir RM12,000 sebelum berhenti kerja untuk membuka perniagaan sendiri dalam bidang sama.

“Alhamdulillah dengan apa yang saya miliki, saya mampu membuka peluang pekerjaan dalam bidang perpaipan untuk pelatih TVET lain dan kini syarikat saya sudah mempunyai tiga cawangan iaitu di Kuala Lumpur, Sabah dan Terengganu dengan jumlah kakitangan dan pekerja seramai 80 orang,” katanya ketika ditemui.

Beliau yang sudah berkahwin berkata, dia pernah putus asa dan tidak nampak jalan untuk meneruskan hidup sebelum bertemu peluang menjalani kursus perpaipan di ABM pada 2006.

“Saya bersyukur kerana dapat menggembirakan ibu bapa yang sebelum ini kecewa dengan saya kerana gagal dalam SPM dan tidak dapat melanjutkan pengajian ke universiti seperti ramai rakan lain,” katanya.

Sementara itu, Muhammad Faizal, dari Kuala Terengganu, berkata, kematian bapa pada 2004 memberi tamparan buatnya selepas sekian lama leka dengan kehidupan yang hanya bergantung pada keluarga, selepas gagal menghabiskan persekolahan kerana tidak minat belajar.

“Sebelum kematian bapa, saya hanya meminta wang daripadanya untuk menampung hidup, saya langsung tidak fikir mahu bekerja, sehinggalah bapa meninggal, saya hilang arah.

“Ketika itu terbit rasa kesal dan rasa mahu mengubah hidup serta mahu berbakti pada keluarga terutama ibu, Aishah Mamat, 67, lalu saya mula bekerja membaiki kereta di bengkel milik seorang rakan.

“Kemudian ada rakan mencadangkan saya untuk mengikuti kursus kimpalan di ABM selama dua bulan dan sebaik tamat kursus, bermulalah kehidupan baru buat saya apabila berjaya mendapat pekerjaan bagus di syarikat swasta dengan gaji lumayan,” katanya yang kini bekerja sebagai jurukimpal syarikat minyak dan gas (O&G) di Arab Saudi dengan gaji RM18,000 sebulan.

Dia sebelum ini pernah memperoleh gaji RM27,000 sebulan ketika bekerja dengan syarikat O&G di Miri, Sarawak pada 2016 dan bersyukur kerana dapat membeli kenderaan secara tunai, membaik pulih kediaman keluarganya, membantu kewangan keluarga, selain menghantar ahli keluarga termasuk ibu menunaikan haji dan umrah beberapa kali.

Manakala Mohamad Badiuzaman dari Kemaman berkata, beliau banyak bermain ketika zaman sekolah menyebabkannya gagal dalam SPM dan rasa kesal menyebabkannya sedar untuk mengubah nasib diri dan keluarga.

“Kegagalan lalu membuatkan saya mahu bangkit dan tidak terus leka. Alhamdulillah sekarang saya memperoleh gaji RM18,000 sebulan dan dapat membantu keluarga, selain berpeluang ke banyak negara untuk bekerja termasuk China, Hong Kong, Myanmar, Amerika Syarikat dan Dubai,”

Semoga perkongsian kisah dari mereka ini dapat memberikan inspirasi buat semua terutamanya yang gagal dalam pelajaran.