[VIDEO] Kenang Jasa & Pengorbanan Media, Siti Sarah Agih Minuman Di Hadapan Istana

Suasana di luar Istana Negara terus meriah apabila pelbagai jenis bentuk sumbangan diberikan kepada media yang bertugas.

Sekitar beberapa hari kebelakangan ini, ramai media berkampung di luar Istana Negara untuk memberikan berita terkini kepada orang ramai mengenai isu politik ketika ini.

Penyanyi Siti Sarah turut hadir di pintu Istana Negara

Turut tidak ketinggalan, penyanyi Siti Sarah yang turut meluangkan masa lebih dua jam turun melihat sendiri rakan media yang bertugas di pintu Istana Negara.

Selain itu, beliau turut melahirkan rasa kagum dan hormat dengan tugas rakan media yang sanggup berkumpul di bawah panas bagi mendapatkan berita terkini.

Saya tabik dengan semangat kerja mereka

“Saya tabik dengan semangat kerja yang ditunjukkan rakan-rakan media lelaki dan perempuan yang komited serta tidak berganjak di kawasan tugasan”. katanya kepada Media Hiburan

“Jujurnya, bukan mudah apa yang mereka lalui demi amanah dan tugas yang digalas. Wajar kita menghargai mereka,” ujar beliau lagi.

Siti Sarah turut mengedarkan minuman Bubble Bee di Istana Negara

Penyanyi yang popular dengan lagu Semakin itu turut mengedarkan minuman Bubble Bee dan Stik Madu kepada rakan-rakan media, orang ramai dan anggota keselamatan.

Ketika di sana, Siti Sarah turut teruja apabila berpeluang melihat sendiri ketibaan Perdana Menteri Interim Tun Dr Mahathir Mohamad tiba memasuki Istana Negara.

Menurut beliau lagi, bukan semua orang mampu melalui rutin yang dilakukan dan semua pihak wajar menghormati setiap pekerjaan yang dilakukan.

Beliau turut meluangkan masa berbual dengan petugas

Selain itu, Siti Sarah turut meluangkan masa berbual dengan anggota keselamatan yang bertugas dan berkongsi minuman dan madu dengan mereka.

“Saya sendiri yang memang mahu turun dan lihat sendiri situasi yang dilalui oleh rakan media yang memang rakan-rakan saya sendiri”.

Penyanyi itu turut mendoakan negara terus aman dan damai

“Bagi saya hari ini saya belajar sesuatu yang baharu dan saya mendoakan kita semua terus hidup aman dan damai sentiasa,” katanya.

Isteri kepada pelawak terkenal Shuib Sepahtue itu sempat berkongsi perkembangan terkininya.

“Ada sesuatu yang istimewa, saya akan kongsi nanti,” katanya.

Penyanyi dan beberapa pekerja Bubble Bee yang hadir bersamanya turut meluangkan masa lebih dua jam bersama yang lain di Istana Negara.

Sementara itu, sebanyak 200 cawan minuman Bubble Bee Black Pearl dan Diamond Pearl serta 300 stik madu diedarkan kepada rakan media dan anggota keselamatan.