[VIDEO] “Jangan letak kesalahan pada sektor ekonomi sahaja,” – Azmin Ali

Sektor pengilangan dan pembuatan menyumbang antara lima hingga 10 peratus kepada kes positif COVID-19 di negara ini.

Menerusi laporan Berita Harian, Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata mengikut data Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), sebahagian besar kes positif adalah bersifat sporadik yang mana ia membabitkan komuniti.

“Mengikut statistik dan data yang diumumkan KKM, 75 peratus kes positif bersifat sporadik yang mana virus kini dalam komuniti dan hanya 25 peratus sahaja dari pelbagai bentuk kluster termasuk tempat kerja.

“Kes positif membabitkan sektor perkilangan dan pembuatan adalah antara lima hingga 10 peratus sahaja jadi tidak wajar untuk meletakkan kesalahan pada sektor ekonomi khususnya pembuatan,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di bawah

Program Imuninasi Industri COVID-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) di Setia City Convention Centre (SCCC), hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai desakan pelbagai pihak yang mahu sektor perkilangan ditutup susulan peningkatan kes membabitkan kluster tempat kerja.

Mohamed Azmin berkata, pihaknya sudah menjangkakan kebarangkalian terdapat kes positif selepas beberapa sektor ekonomi dibenarkan beroperasi.

“Bagaimanapun, sektor perkhidmatan perlu (essential goods and services) dibenarkan untuk melindungi dan menjaga kesejahteraan ekonomi rakyat, khususnya Malaysia sebagai sebuah negara yang terbabit dalam rantaian bekalan global,” katanya.

Beliau berkata, pihak majikan juga diminta untuk memastikan pematuhan prosedur operasi standard ( SOP ) selain meningkatkan ujian saringan secara berkala terutamanya dalam mengesan kes positif tanpa gejala.

Dalam pada itu, sehingga semalam, seramai 669,846 pekerja dari 4,537 syarikat di seluruh negara sudah mendaftar di PIKAS sejak dilaksanakan pada 16 Jun lalu.

Daripada keseluruhan jumlah itu seramai 16,564 pekerja sektor pembuatan di tiga negeri iaitu Selangor, Pulau Pinang dan Johor sudah mendapat suntikan vaksin sehingga semalam (27 Jun).