[VIDEO] Farah Hanis Bayi ‘Ajaib’ Lahir Semasa Ibunya Sedang Koma

BAYI perempuan, Farah Hanis Fairol Haziri yang dilahirkan Kamareeah Arwae, 36, yang sedang koma akibat ketumbuhan di kepala boleh dikatakan sebagai satu keajaiban dalam bidang perubatan kerana jarang berlaku. Pakar Perbidanan dan Sakit Puan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Dr Ahmad Amir Ismail yang menjalankan pembedahan itu berkata, kebiasaannya ibu yang berada dalam situasi itu [...]

Beberapa bulan lalu telah tular kisah di mana seorang bayi perempuan, Farah Hanis Fairol Haziri telah dilahirkan oleh ibunya Kamareeah Arwae, 36, yang sedang koma akibat ketumbuhan di kepala.

Perkara tersebut boleh dikatakan sebagai satu keajaiban dalam bidang perubatan kerana jarang berlaku khususnya di Malaysia, lapor HMetro.

Menurut pakar Perbidanan dan Sakit Puan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Dr Ahmad Amir Ismai, kebiasaannya ibu yang berada dalam situasi itu akan mengalami keguguran, manakala pertumbuhan bayi terencat atau masalah kesihatan lain.

“Bagaimanapun, dengan kerjasama semua pihak terutama keluarga yang memberi makanan mencukupi melalui tiub kepada Kamareeah menyebabkan kandungannya berada dalam keadaan baik.”

Kamareeah disahkan hamil tiga bulan ketika koma kerana ketumbuhan itu.

“Ketika sedang hamil, Kamareeah pernah mengalami jangkitan kuman dan menerima rawatan di hospital selama tiga minggu tetapi keadaan itu tidak menjejaskan kandungannya.”

Bayi perempuan tersebut selamat dilahirkan ketika kandungan berusia lapan bulan setengah.

“Ketika kandungan berusia lapan bulan setengah, bayi itu selamat dilahirkan dalam keadaan sihat melalui kaedah pembedahan pada 16 Mei lalu.”

Terdahulu, Sultan Kelantan Sultan Muhammad V mencemar duli menziarah Kamareeah dan keluarganya.

Baginda tiba jam 3.40 petang dan meluangkan masa kira-kira setengah jam bertanya khabar keluarga terbabit.

Baginda turut menyampaikan sumbangan wang tunai Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) dan sumbangan peribadi kepada keluarga berkenaan.

Sebelum ini akhbar ada melaporkan Kamareeah yang terlantar akibat ketumbuhan di kepala berjaya melahirkan anak bongsunya pada bulan Mei lalu secara pembedahan ketika berada dalam keadaan koma.

 

Bagi pengamal perubatan, perkara ini adalah satu keajaiban kerana bayi perempuan pada awalnya dijangka tidak mampu diselamatkan.

Farah Hanis kini sudah berusia lima bulan dan menerima susu daripada ibu susuan.

Kelahiran bayi itu yang kini berusia enam bulan dalam keadaan normal adalah satu sejarah kepada HUSM kerana tidak pernah direkodkan sebelum ini, kata Dr Ahmad Amir.

“Saya juga tidak tolak kemungkinan ini adalah kelahiran pertama di negara ini selain ia juga jarang berlaku di dunia,” katanya.

Rentetan daripada kisah Farah yang tular ini, puluhan panggilan telefon diterima oleh ayah Farah, Fairol Haziri, untuk menjaganya.

“Walaupun kurang kemampuan, saya tidak akan serahkan bayi istimewa ini kepada orang lain,” kata Fairol Haziri Rahim.

Menurut Fairol Haziri, sejak hari pertama bayi itu dilahirkan, dia menerima puluhan panggilan telefon termasuk ada yang datang berjumpa dengannya untuk meminta menjaga anaknya itu.

“Pada mulanya ahli keluarga terdekat sahaja yang ingin mengambil Farah Hanis kerana mereka simpati dengan nasib kami tapi lama kelamaan makin ramai orang luar tidak dikenali yang menelefon untuk tujuan itu.

“Saya faham yang mereka ingin membantu, tapi kami tidak sanggup berpisah kerana Farah Hanis adalah satu anugerah malah kelahirannya adalah satu keajaiban dan bukti kebesaran Allah SWT, walaupun memang diakui saya tidak mampu menjaganya,” katanya.