Sidang Dewan Rakyat hari ini kecoh apabila Datuk Seri Tiong King Sing (GPS-Bintulu) membangkitkan isu mengenai Ketua Pengarah Kesihatan yang tidak turun padang dan hanya membuat sidang akhbar harian untuk mendapatkan publisiti.

“Adakah DG dan Timbalannya tidak mahu turun padang ke Sabah kawasan yang paling tinggi kes COVID-19 kerana takut mati,” kata King Sing.

Menjawab persoalan tersebut, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dengan tenang memberitahu wartawan setiap yang hidup pasti akan mati.

“Setiap yang bernyawa pasti merasai mati’, sesungguhnya kami adalah milik Allah, dan kepada-Nya kami kembali,”

Dr Noor Hisham Abdullah yang memetik firman Allah SWT ayat 185 dalam surah Al-Imran bagi menjawab tuduhan Tiong King Sing  yang mendakwa beliau takut mati dan tidak ‘turun padang’ ke Sabah.

Menurut Dr Noor Hisham lagi, sebagai orang Islam beliau menerima kematian itu di mana-mana sahaja, dan berlaku bukan hanya ketika ‘turun padang’ (merujuk Sabah) atau tidak.

“Jadi, apa yang penting ialah kita pasangkan niat untuk melaksanakan tugas kita dan niat kita ialah untuk memutuskan rantaian Covid-19 dalam negara kita.

“Ini ialah tujuan utama. Kita boleh selisih pendapat tetapi yang pasti apa kita laksanakan ialah untuk memutuskan jangkitan Covid-19 supaya kita dapat selamatkan negara kita daripada peningkatan kes jangkitan Covid-19 dan kadar kematian,” katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.

Beliau turut menjelaskan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sudah membuat perancangan yang khusus untuk Sabah.

“Saya sendiri sudah pun ‘turun padang’ (ke Sabah) pada akhir Ogos lalu bagi melihat kepada pengurusan dan kesiapsiagaan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah,” katanya.

Malah, katanya, beliau juga mengarahkan Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Datuk Dr Chong Chee Kheong untuk turun ke Sabah minggu lalu bagi meninjau keadaan di negeri itu.

Beliau berkata, dua minggu lalu Penasihat Khas kepada Perdana Menteri mengenai Kesihatan Awam, Tan Sri Dr Jemilah Mahmood turut ke Sabah.

“Beliau melihat tindakan KKM iaitu pengurusan Covid-19 dan isu-isu yang timbul di Sabah. Jadi tidak timbul isu yang kita takut mati,” katanya.

Terdahulu, berlaku kekecohan di sidang Dewan Rakyat hari ini apabila Ahli Parlimen GPS-Bintulu itu menuduh Dr Noor Hisham takut mati.

Lebih menjadi kecoh apabila Ahli Parlimen Jelutong, S N Rayer diperintahkan keluar Dewan Rakyat pada saat akhir sidang selepas enggan akur dengan arahan Timbalan Speaker.

Ketegangan tercetus apabila Rayer (PH-Jelutong) mendesak Datuk Seri Tiong King Sing (GPS-Bintulu) menarik balik frasa ‘DG takut mati’ ketika King Sing membangkitkan isu Ketua Pengarah Kesihatan tidak turun ke Sabah ketika pendemik COVID-19 melanda.

Rayer mendakwa kenyataan King Sing itu memperlekeh pegawai barisan hadapan tetapi dinafikan King Sing yang menegaskan beliau hanya bertanya dan menyuarakan pandangan rakyat di sana.

Suasana dalam Dewan Rakyat menjadi kecoh dan beberapa penyokong kerajaan dan pembangkang bangun dan bertikam lidah.

Timbalan Speaker, Datuk Seri Azalina Othman Said, kemudian berkali-kali mengarahkan Rayer duduk sebelum membuat keputusan berhubung kenyataan King Sing itu, tetapi Ahli Parlimen berkenaan enggan berbuat demikian.

Pada masa sama, Azalina kemudian memberi dua pilihan kepada King Sing sama ada memohon maaf dan menarik balik kenyataan mengenai Ketua Pengarah Kesihatan itu atau memberikan penjelasan dengan meneruskan perbahasan.

King Sing memilih untuk menerangkan kenyataannya dan enggan menarik balik perkataan yang digunakan.

King Sing menyatakan beliau tidak bersalah dengan menyatakan sedemikian kerana hanya menyampaikan apa yang dinyatakan oleh rakyat dan anggota barisan hadapan.

“Saya tidak mahu tarik balik, apa salah saya cakap DG (Ketua Pengarah) ini takut mati sebab itu yang ‘frontliner’ nyatakan kepada saya. Saya hanya tanya bagi pihak ‘frontliner’.

King Sing meminta kerajaan menetapkan prosedur operasi standard (SOP) yang jelas supaya rakyat tidak keliru dan teraniaya apabila dikompaun kerana didakwa melanggar peraturan ditetapkan.

“Isu ini penting dalam keadaan sekarang dan (nilai) kompaun RM1,000 itu besar. Semalam ada yang dikompaun kerana duduk sebelah-sebelah dalam kereta, ada juga didenda kerana masuk dalam stesen minyak untuk buat bayaran.

“Rakyat marah dan keliru kenapa tidak terang SOP, mesti diterangkan kepada semua agensi penguat kuasa,” katanya.

"Your favorite story, whatever it might be, was written for one reader." Brian Bloom, 5 to 7.