Uqasha Senrose Mahu Suami Kuat Agama, Ini Sebabnya..

Walaupun Nelydia Senrose terlebih dahulu bakal menamatkan zaman bujang, Uqasha Senrose sebagai kakak memberitahu dia tidak berasa tertekan apabila ramai yang tertanyakan bila pula gilirannya untuk melangsungkan perkahwinan.

“Saya tidak tertekan apabila ada yang bertanya bila pula giliran saya (untuk berkahwin). Lagipun saya tidak kisah kalau Nelydia kahwin dulu ssebab jodoh dia sudah sampai dan saya gembira untuk dia.

Kata Uqasha dia tidak mahu terburu-buru mencari pasangan sehingga tersalah pilih hanya kerana mahu cepat kahwin.

Dalam pada itu, Uqasha tidak kisah mengenai soal status atau pangkat bakal suaminya asalkan lelaki itu boleh membimbing dirinya ke jalan yang baik serta seorang yang kuat pegangan agama.

“Sekarang saya dalam misi mencari calon yang sesuai, namun enggan terburu-buru sebab tidak mahu tersalah pilih. Saya juga tidak kisah mengenai status atau pangkat bakal suami asalkan dia sentiasa berusaha dalam kehidupan untuk memberikan yang terbaik.

“Saya juga kalau boleh nak lelaki yang kuat pegangan agama sebab saya percaya seseorang lelaki itu tugasnya adalah untuk membimbing isteri mereka ke jalan yang baik. Tak boleh juga kalau wanita sahaja yang ada pegangan agama, lelaki pun kena sama sebab dia yang akan mengemudi sesebuah keluarga,” ujarnya lagi.

Nik Zaris Uqasha Binti Nik Sen atau lebih dikenali sebagai Uqasha Senrose (lahir 6 Julai 1992) merupakan seorang pelakon wanita Malaysia.

Uqasha merupakan kakak kepada Nelydia Senrose dan kakak kepada bekas juara Dewi Remaja 2015 iaitu Raysha Rizrose.

Uqasha terkenal menerusi watak lakonannya sebagai Melati dalam filem sulungnya, Paku Pontianak (2013) dan sebagai Nurin Areesa dalam drama adaptasi novel, iaitu Tundukkan Playboy Itu bersama Hafidz Roshdi .

Uqasha kemudiannya muncul dalam satu lagi drama adaptasi novel, iaitu Hero Seorang Cinderella bersama Fazura dan Fattah Amin. Beliau kemudiannya juga telah muncul dalam sebuah drama daripada adaptasi novel iaitu drama bersiri Rahsia Hati Perempuan sebagai Arissa bersama sama Hisyam Hamid, Fikry Ibrahim dan Mira Filzah.

Uqasha memulakan kerjaya lakonannya pada 2010 menerusi filem bebas karya Anshari Rahizan Lukisan Hati yang dibintangi oleh Faralyna Idris, diadaptasi dari komik dalam talian dengan judul sama, ketika itu beliau menggunakan nama sebenar Zaris Uqasha.

Tiga tahun kemudian, iaitu pada 2013, Uqasha membintangi filem sulungnya, Paku Pontianak arahan Ismail Bob Hashim di mana beliau memegang watak utama sebagai Melati, bersama Pekin Ibrahim.

Juga pada tahun sama, beliau memegang watak Rania dalam drama adaptasi novel, Sebenarnya, Saya Isteri Dia! lakonan Izzue Islam dan Tiz Zaqyah.

Uqasha kemudiannya berlakon di samping Farid Kamil dan Nora Danish dalam filem Bencinta arahan Eyra Rahman.

Uqasha membuat penampilan pentas pertamanya menerusi pementasan teater Ombak Rindu yang dipentaskan pada 22 April hingga 1 Mei 2016; Uqasha memegang watak sebagai Izzah yang sebelum ini dilakonkan oleh Maya Karin dalam filem yang dikeluarkan pada 2011.

Beliau muncul bersama Hafidz Roshdi dalam drama Tundukkan Playboy Itu yang diadaptasi dari novel dengan judul sama karya Anjell. Uqasha memegang peranan sebagai Laili dalam Kerana Anisa dan Puteri Emallyn dalam Hero Seorang Cinderella lakonan Fazura dan Fattah Amin. Uqasha merupakan salah seorang pelakon utama drama adaptasi novel Rahsia Hati Perempuan; memegang watak sebagai Arissa.