“Ummi xkuat chaq, Ummi redha dgn ketentuan Allah” Ibu Mangsa Rempuhan Bas

Tidak diduga seorang anak yang baik, sering membantu ibunya dan menjadi harapan keluarga pergi sekelip mata meninggalkan keluarga buat selamanya hanya akibat kecuaian orang lain.

Berat mata yang memandang pastinya berat lagi hati yang mahu dipujuk kedua ibu bapa mangsa nahas langgar pemandu bas yang tular semalam.

Mangsa yang terlibat dalam nahas bas di Bayan Lepas semalam, Muhammad Saifullah Muhammad Hafeiz, 16 adalah anak sulung kepada pasangan Siti Hajar Ghazali,38 dan Mohammad Hafeiz Mubara, 44 telah dilanggar oleh pemandu bas semasa memberhentikan motosikal di lampu isyarat.

Muhammad Saifullah seorang anak yang baik

Arwah dikatakan bekerja secara sambilan sebagai penghantar pizza sejak Mei lalu dan disifatkan sebagai seorang anak baik

Walaupun baru berumur 16 tahun, mangsa dikatakan anak yang berdikari dan tidak pernah menyusahkan keluarga kerana gemar mencari duit sendiri jika mahukan sesuatu.

Menurut ibu mangsa Siti Hajar, anak sulungnya itu tidak menunjukkan sebarang perubahan sebelum kemalangan.

Cuma ada sesuatu yang pelik kerana mangsa keluar rumah tidak menyalami ibunya seperti rutin yang sering dilakukan sebelum ke tempat kerja.

Sepanjang hayatnya tidak pernah sikit pun arwah susahkan kami

“SEPANJANG hayatnya tidak pernah sikit pun arwah susahkan kami, bahkan dia suka berdikari, mencari wang sendiri jika mahukan sesuatu,” kata ibu kepada Muhammad Saifullah Mohammad Hafeiz, 16, yang meninggal dunia dirempuh bas di Setia Triangle, Bayan Lepas, semalam.

Ujar Siti Hajar Ghazali, 38, berkata, dia dan suaminya, Mohammad Hafeiz Mubara, 44, terkejut selepas menerima berita nahas anak sulung mereka.

“Saya pelik sebab selalunya dia kalau hendak keluar, pasti akan salam saya dulu tetapi semalam dia keluar begitu sahaja tanpa memaklumkan apa-apa”, ujarnya kepada Harian Metro

“Tidak lama selepas itu, saya dapat panggilan memaklumkan kemalangan itu. Sedih dan sukarnya saya menerima berita itu,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al-Mustaghfirin di Sungai Tiram, Bayan Lepas.

Jenazah telah selamat dikebumikan

Jenazah pelajar tingkatan empat itu telah selamat dikebumikan kira-kira 11 pagi pada hari ini.

Selain itu, menurut Siti Hajar anak sulung dari tujuh beradik itu adalah anak yang baik dan harapan keluarga. Arwah seorang yang sentiasa bersemangat dan suka membantu dia dan suaminya.

“Dia masih bersekolah, tetapi dari dulu dia jenis tidak suka duduk diam dan akan membuat kerja-kerja sambilan untuk mengumpul duit demi masa depannya”.

“Malah, dia beritahu dia tidak mahu susahkan saya dan ayahnya, jadi apa sahaja dia nak, dia yang akan berusaha sendiri,” katanya.

Sementara itu, Mohammad Hafeiz menyifatkan anak lelakinya itu seorang pendiam kerana sifatnya yang kuat berdikari.

“Namun, dia anak yang baik, tidak pernah sekali pun susahkan saya dengan ibunya, malah rapat dengan keluarga,” katanya.

Nukilan Si Ibu

Ibu arwah turut berkongsi coretan hatinya mengenai pemergian anaknya dan pastinya sesiapa yang membaca nukilan itu turut merasai kesedihan yang dialami oleh si ibu.

“12.06.03 – 07.11.19, perginya putera sulung ummi Muhammad Saifullah kepada penciptanya”.

“Ummi xkuat chaq, Chaq la nyawa ummi. Chaq la yang ajar ummi macamana nak jadi seorang ibu”.

“Tima kasih jadi anak yang baik untuk ummi, jadi sahabat ummi. Walaupun ada masa chaq xlarat tetap buat apa yang ummi suruh”.

Rehatlah sayang sepuasnya

“Tidur la sayang ummi rehat la sepuas – puasnya. Tunggu ummi, abah, ngan adik kat Sana na, Ummi redha dengan ketentuan Allah. Allah pinjamkan chaq kat ummi sat ja, 16 thn 5 bulan”. Al-Fatihah

Namun begitu, Siti Hajar mengakui redha dengan ketentuan Allah S.W.T dan bersyukur diberi pinjam anak sebaik itu untuk 16 tahun ini.

Jenazah allahyarham telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al-Mustaghfirin di Sungai Tiram, Bayan Lepas pada jam 11 pagi tadi.

Salam takziah buat keluarga dan kenalan rapat arwah. Semoga keluarga diberikan kekuatan untuk menghadapi dugaan ini.