Tuah Kerana Selalu Bagi Anjing Liar Makan, Pemuda Ini Mampu Hadiahkan Ibu Toyota Yaris

Sebelum ini, nama pemuda yang sering memberikan anjing liar makan iaitu Faiz Aizif hangat diperkatakan netizen dek sifat murninya terhadap haiwan.

Iospital phone repair gombak

Sejak daripada namanya menjadi tular di media sosial terutama sekali di TikTok, rezeki Faiz kelihatan lebih murah dengan membuat paid review, menjadi duta produk dan macam-macam lagi.

Tipulah kalau kita sebagai anak tidak mahu membalas jasa ibu ayah yang dah bersusah payah membesarkan kita bila kita dah mampu kan?

Sama seperti pemilik nama Muhammad Faiz Basirun, apabila hasratnya menghadiahkan sebuah kereta Toyota Yaris kepada ibunya, Syarrina Mohd Hamzah tercapai sehari sebelum Ramadan, 22 Mac lalu.

“Sejak daripada sekolah lagi saya dah berazam nak hadiahkan mak sebuah kereta. Alhamdulillah sekarang apabila dah mampu sikit, saya terus belikan kereta ni.

“Proses nak dapatkan kereta pun hanya makan masa sebulan saja selepas saya buat keputusan.

“Dulu mak dan abah membesarkan kami sekeluarga hanya dengan naik motosikal saja. Kami pergi ke mana-mana pun naik motor itu saja,” kata pemuda berusia 21 tahun itu.

Imbas Faiz yang berasal dari Langkawi, Kedah, dia tidak dilahirkan dalam sebuah keluarga yang mewah.

“Mak dan abah mampu beli kereta Kancil lepas kumpul duit. Kami sekeluarga gembira sangat sebab sudah ada kereta masa tu. Tak payah ‘mandi’ hujan lagi dah.

“Kereta itulah mak saya gunakan untuk urusan hantar dan ambil kami adik beradik. Sampai sekarang berbakti hantar adik ke sekolah dan kakak ke tempat kerja.

“Sekarang apabila saya ada rezeki lebih sikit, terus saya belikan kereta baharu walaupun tak pernah dipinta. Saya bagi kereta ni pun sebagai tanda terima kasih sebab dah besarkan dan selalu doakan saya sehingga berjaya macam sekarang,” katanya.

Pun begitu, Faiz turut pernah berdepan pengalaman pahit ketika bekerjasama dengan seorang pengasas produk lokal yang enggan didedahkan identitinya.

“Apabila saya mula dikenali, ramai yang ambil kesempatan. Yang tak pernah berkawan sebelum ni pun mula mengaku jadi kawan.

“Pengalaman paling perit adalah saya pernah kena tipu dengan pengasas produk kosmetik terkenal. Saya dah naikkan nama branding dia tapi dia tak bagi sebarang bayaran pun.

“Sebelum ni produk dia tak dikenali. Tapi apabila semakin maju, banyak masalah terjadi. Bayaran jadi tersangkut dan kontrak saya ditamatkan secara tiba-tiba,” katanya.

Namun, itu tidak mematahkan semangatnya apabila pendapatan bulanannya kini cukup untuk menyara keluarga dengan menjadi duta beberapa produk berasaskan makanan.

Berkongsi mengenai kereta mewah jenama Mercedes miliknya sendiri, dia hanya mengambil masa dua bulan untuk membelinya dengan harga sekitar RM200,000.

“Nak dibandingkan hidup zaman dahulu, memang jauh berbeza dengan sekarang. Dulu saya bawa motosikal milik abah tu saja pergi ke mana-mana pun.

“Bagi anjing-anjing liar makan dan COD (cash on delivery) makanan pun saya tunggang motosikal tu. Nak hidupkan motor tu pun kena ‘pulas’ pakai pisau dulu sebagai kunci.

“Tapi Alhamdulillah berkat usaha dan doa daripada orang sekeliling termasuklah anjing-anjing tu, sekarang saya dah boleh berjaya macam sekarang,” akhiri Faiz

Video yang tular di laman TikTok

@faiz.aizif Ya Allah, Menitis Air Mata Edit Video Nih. Terima Kasih Ya Allah. Terima Kasih Untuk Segalanya. Terima Kasih Izinkan Hambamu Ini Untuk Merealisasikan Impian Ini. ❤️ Ambik Berkat Sehari Sebelum Ramadan. Semoga Saya Digandakan Pahala Dan Rezeki Lagi. Amin ya Mujib❤️ Terima Kasih Kak @AzieRazzia Tolong Uruskan Hal Kereta Faiz ! Service Tiptop🔥 #fyp #faizaizif #ceoanjing #ceobulus #beletiaq #viral ♬ Muhasabah Cinta – Anisa Rahman