“Tolong jaga emak, abah” Pesanan Terakhir Jururawat Positif COVID-19

Seperti yang semua sedia maklum, rakyat Malaysia masih lagi dalam Perintah Kawalan Pergerakan bagi memutuskan rantaian Covid-19.

Barisan hadapan negara yang terdiri dari pelbagai sektor masih gigih menjalankan tugas walaupun berdepan risiko jangkitan Covid-19 ini.

Ramai barisan hadapan yang sanggup meninggalkan keluarga sementara bagi mengelak jangkitan kepada ahli keluarga terdekat.

Tolong jaga emak dan abah

“Tolong jaga emak dan abah ya.” Sedih dan pilu namun itu merupakan pesanan terakhir seorang jururawat Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Muar, yang meninggal dunia akibat dijangkiti COVID-19.

Allahyarham Nadila Rahmat, 32, jururawat di wad ortopedik HPSF itu meninggal dunia kira-kira jam 12.36 tengah malam semalam lapor Berita Harian.

Allahyarham telah dirawat hampir 17 hari dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK), Kluang.

Sementara itu menurut Adiknya, Nabiha, 26, berkata pesanan terakhir kakak sulungnya itu disampaikan menerusi telefon sehari selepas dimasukkan ke ICU pada 7 April lalu.

Panggilan telefon terakhir buat ibu

Katanya, Allahyarham ketika itu menelefon ibu mereka, memaklumkan keadaannya kerana perlu dirawat di ICU.

Namun begitu ketika itu mereka sekeluarga berada dalam kenderaan kerana baru selesai melakukan saringan COVID-19 menyebabkan suara kakaknya itu tidak didengari ibunya.

“Ibu menyerahkan semula telefon kepada saya sebelum kakak berpesan supaya sentiasa jaga emak dan ayah.

Itu kali terakhir perbualan Allahyarham kakak dan ibu

Menurut kakak, selepas ini beliau akan ‘ditidurkan’ di ICU bagi memasukkan ubat ke dalam badannya.

“Ketika itu sudah terdetik rasa sayu namun saya tidak sampai hati untuk memaklumkan emak dan abah kerana tidak mahu mereka susah hati”.

“Itulah kali terakhir kakak bercakap dengan ibu dan saya sebelum menghembuskan nafas terakhir tengah malam tadi, ” katanya sebak ketika dihubungi.

10 tahun menjadi jururawat

Jenazah Nadila dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Serom 1, Sungai Mati, Tangkak, Muar, tengah hari tadi.

Mengulas lanjut, Nabiha berkata, Nadila sudah 10 tahun menjadi jururawat dan bertugas di HPSF Muar.

Katanya, kakak seorang yang ceria namun jarang berkongsi masalahnya dengan keluarga berikutan tidak mahu mereka bimbang.

Tidak sihat sejak April

“Kakak sudah mula tidak sihat awal April lalu dengan batuk dan tidak berselera makan, namun kami tidak mengesyaki apa-apa.

“Kakak hanya maklumkan kepada keluarga beliau perlu menjalani kuarantin kerana menjadi suspek jangkitan COVID-19 hanya di saat akhir sebelum pergi ke pusat kuarantin di Pagoh pagi pagi 5 April lalu.

“Itulah kali terakhir kami sekeluarga bertemu kakak.

Ibu tidak putus-putus berdoa untuk kakak sembuh

“Beliau meminta emak membantu mencari beg pakaian namun menegah ibu datang berhampirannya ketika mahu menolongnya mengemas pakaian.

“Ketika itu emak sudah berasa tidak sedap hati namun seperti kakak, emak hanya memendam saja perasaan sedihnya itu sehinggalah kakak perlu dimasukkan ke ICU 7 April lalu,” katanya.

Beliau berkata, keluarganya terutama bapa mereka, Rahmat Johan, 65, dan emak sering melakukan solat hajat dan membaca surah Yassin bagi mendoakan kakak sembuh seperti biasa.

Panggilan yang kami sekeluarga takuti terjadi juga

“Namun malam tadi, apa yang kami sekeluarga takuti terjadi juga apabila hospital dan doktor menghubungi keluarga kira-kira jam 10.30 malam menyatakan keadaan kakak semakin tidak stabil,” katanya.


Panggilan kedua dari hospital memaklumkan kakak semakin kritikal dan meminta keluarga bersedia apa jua kemungkinan dan panggilan ketiga, pula memaklumkan kakak sudah meninggal dunia.

Reda dengan pemergian Allahyarham

“Keluarga kami reda dengan pemergian kakak namun kami kehilangan seorang kakak yang suka berbakti kepada keluarga dan masyarakat dan tidak lagi dapat menyaksikan keletahnya menyediakan hidangan berbuka puasa seperti selalu, ” katanya.

Semoga keluarga Allahyarham tabah dan kuat menghadapi ujian kehilangan ahli keluarga tersayang.