“Tidak puas hati ekoran diperli..” Rakan Baik Suspek Kes Bunuh Siti Nur Suria

Siapa sangka, remaja perempuan, Siti Nur Suria Ismail, 19, yang mati dalam keadaan ngeri di rumahnya semalam rupa-rupanya dibunuh oleh rakan baiknya sendiri.

Menerusi laporan Kosmo, suspek yang merupakan bekas rakan sekolah Siti Nur Suria dipercayai melakukan perbuatan kejam itu hanya kerana tidak puas hati ekoran diperli mangsa.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Rosli Chik berkata, remaja perempuan berusia 19 tahun tersebut ditahan selepas tampil memberi keterangan di Balai Polis Telemog di sini pada pukul 7.30 pagi.

“Suspek pada mulanya mendakwa menemui mayat Siti Nur Suria tertiarap di ruang tamu sewaktu pergi ke rumah mangsa pada pukul 9.30 pagi semalam.

“Pun begitu, kita menahan suspek setelah mengesyaki suatu tidak kena apabila terdapat kesan lebam dan gigitan di beberapa bahagian badannya. Setelah disoal, suspeknya akhirnya mengaku membunuh mangsa,” katanya.

Roslee berkata, berdasarkan keterangan awal suspek, dia pada mulanya pergi ke rumah Siti Nur Suria sekadar untuk bersembang kosong sebelum bertengkar.

Tambah beliau, suspek kemudian telah menyerang Siti Nur Suria sebelum berlaku pergelutan yang menyebabkan mangsa cedera ditetak di bahagian muka, leher dan dada.

Menurut Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daut berkata, suspek berusia 19 tahun yang juga kenalan mangsa ditahan selepas diserahkan oleh ibunya pada 8.15 pagi tadi.

Katanya, tangkapan terhadap suspek dibuat berdasarkan bukti yang ditemui di lokasi kejadian dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di rumah burung berhampiran kediaman mangsa.

“Suspek datang ke Balai Polis Telemong ditemani ibunya untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan.

“Bagaimanapun, keterangan wanita terbabit mencurigakan selain terdapat beberapa kesan kecederaan termasuk gigitan pada lengan dan badan suspek sebelum ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya pada sidang media di IPD Hulu Terengganu, di sini, hari ini.

Menurutnya, susulan penahanan itu, polis menjalankan siasatan di rumah suspek sebelum menemui beberapa barangan termasuk wang tunai dan peralatan solek dipercayai milik mangsa.

Katanya, sebelum kejadian, suspek dikatakan pergi ke rumah mangsa dengan menaiki motosikal.

“Ketika bersembang di ruang tamu, berlaku kata-mengata yang menimbulkan kemarahan pada suspek sebelum berlaku pergaduhan dan pergelutan.

“Suspek dikatakan mengambil pisau dapur yang ada di ruang tamu sebelum mengelar beberapa kali pada pergelangan tangan kiri mangsa sehingga putus,” katanya.

Menurutnya, suspek yang masih belajar di tingkatan enam disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Katanya, suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Marang, esok untuk permohonan reman.