“Dia sentap tangan dan lari ke jalan,” Budak 3 Tahun Maut Dirempuh Kereta

Seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun maut selepas dirempuh sebuah kereta dalam kejadian di Kampung Wa, di Dungun, malam tadi.

Menerusi laporan Astro Awani, dalam insiden kira-kira jam 8.30, mangsa, Mu’tahal Assalami, maut di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan anggota badan.

Ketika kejadian, mangsa bersama ahli keluarganya berkunjung ke sebuah restoran untuk menikmati makan malam.

Menurut bapanya, Assalami Ahmad, 61 tahun, dia bersama isteri dan tujuh anaknya baru sahaja tiba di restoran tersebut dari kediaman mereka di Kampung Jerangau.

Ketika sedang memeriksa suhu badan, pegangan tangannya terlucut, lalu anaknya terus berlari ke tengah jalan.

Sejurus selepas itu, sebuah kereta jenis Perodua Kancil yang dipandu seorang wanita tidak sempat mengelak lalu melanggarnya.

“Saya sedang tulis nama, pegang anak sebelah, kemudian dia sentap tangan dan lari ke jalan, saya kejar tetapi tidak sempat.

“Kereta itu laju, kemudian melanggar anak, dia terpelanting. Saya angkat (tubuhnya) dan lihat anak sudah tiada,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun Supt Baharudin Abdullah ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

Menurut beliau, sewaktu kejadian, kanak-kanak lelaki tersebut yang mengikut keluarganya makan malam di kedai makan berkenaan dikatakan tiba-tiba meluru keluar ke tengah jalan.

“Sebuah Perodua Kancil yang dipandu seorang wanita berusia 26 tahun yang dalam perjalanan ke Dungun tidak sempat mengelak lalu merempuh mangsa.

“Rempuhan itu menyebabkan mangsa tercampak sejauh beberapa meter dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi media hari ini.

Jelasnya, wanita yang memandu kereta terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan.

Katanya, mayat kanak-kanak itu telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk proses bedah siasat.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan, APJ 1987.