[VIDEO]”Terima kasih, Ya Allah, mudahkanlah kami ke final…” Berdoa Dalam Air Mata. Gembira Dalam Syukur

Situasi penuh emosi yang ditunjukkan oleh barisan pemain Harimau Malaya di padang Stadium Rajamangala, pada Rabu malam, sejurus meraikan kejayaan mereka mara ke perlawanan akhir Piala AFF Suzuki selepas mengikat Thailand 2-2.

Instagram @malaysiasoccer memuatnaik video ahli pasukan skuad kebangsaan itu berpelukan sambil menitiskan air mata, tanda mereka puas dapat menyekat kemaraan pasukan Gajah Perang pimpinan Milovan Rajevac.

Semua memanjatkan rasa syukur dengan berdoa bersama, diketuai oleh Adam Nor Adlin.

“Terima kasih, Ya Allah, atas kemenangan ini. Kami bersyukur pada-Mu, Ya Allah.

“Inilah hasil kerja keras dari semua pemain, dari atas hingga ke bawah.

“Bagilah kami ke final, mudahkanlah kami, Ya Allah,” itulah antara yang disebutkannya dalam doa itu sambil diaminkan oleh yang lain.

Laungan dan sorakan Ultras Malaya diiringi terus berkumandang kuat ketika mereka berdoa dalam keadaan yang sebak itu,di stadium diiringi paluan gendang, tanda meraikan kejayaan setelah pasukan negara berjaya mematikan langkah Thailand.

Malaysia berjaya mara ke perlawanan akhir Piala AFF Suzuki meskipun terikat 2-2 pada Rabu malam dengan kelebihan jaringan gol di tempat lawan.

Sama ada Vietnam ataupun Filipina bakal bertemu Malaysia di final nanti, namun ia bergantung pada siapa yang menang dalam aksi timbal balik perlawanan separuh akhir malam ini.