Tak Perlu Pakai Face Mask Di Dalam Kenderaan Sendiri

Di antara perkara yang menjadi persoalan berkenaan SOP PKPP bagi sebahagian rakyat adalah tentang pemakaian pelitup muka di dalam kenderaan persendirian.

Menerusi sidang media khas Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang diadakan sebentar tadi, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyatakan bahawa pelitup muka hanya wajib dipakai di tempat awam yang sesak sahaja.

Pemakaian pelitup muka di kawasan luas serta yang ada penjarakan fizikal pula tidak diwajibkan.

Menurut Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) itu, individu yang menaiki kenderaan persendirian dan tidak memakai pelitup muka, tidak akan dikompaun.

Sebaliknya beliau berkata, hanya mereka berada di tempat awam yang sesak seperti pasar, panggung wayang dan lokasi pelancongan serta menaiki pengangkutan awam sahaja diwajibkan memakai pelitup muka.

Pun begitu, orang ramai yang sedang melakukan aktiviti fizikal serta berada di dalam kenderaan sendiri tidak diwajibkan untuk memakai pelitup muka.

“Semalam tular di media sosial, ada (individu) yang dikenakan kompaun (tidak pakai pelitup muka) dalam kenderaan persendirian dan itu tidak betul.

“Individu yang menaiki kenderaan persendirian tidak perlu memakai pelitup muka dan tidak perlu juga diambil tindakan.

“(Jadi) bagi mereka yang sudah membayar kompaun itu di pejabat kesihatan, mereka boleh menuntut semula wang berkenaan (kompaun dibatalkan),” katanya dalam sidang media harian mengenai Perintah Kawalan Pergerakan berikutan Covid-19, hari ini.

Ismail Sabri berkata, pihaknya percaya polis mempunyai budi bicara untuk mengeluarkan kompaun berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Begitu juga bagi mereka yang berada di tepi pantai, kalau dia seorang duduk di situ dan tiada kesesakan, tidak perlu disaman.

“Contoh lain, padang bola adalah tempat awam, tetapi berkeluasan besar yang mampu dilakukan penjarakan fizikal, jadi tidak perlu dikenakan kompaun juga,” katanya yang menegaskan, pelitup muka diwajibkan bagi kawasan yang sesak dan penggunaan pengangkutan awam.

Dalam pada itu, beliau berkata, kanak-kanak berusia dua tahun ke bawah juga tidak diwajibkan memakai pelitup muka kerana dikhuatiri boleh menyebabkan mereka lemas.

Katanya, ibu bapa perlu memainkan lebih bertanggungjawab dengan tidak membawa anak yang masih kecil di tempat awam yang sesak.