Tak Galakkan Pelawat Datang Ke Rumah, 20 Orang Maksimum Dimaksudkan Hanya Ahli Keluarga

Seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri pada semalam, tiada pergerakan merentasi negeri dibenarkan untuk sambutan hari raya.

Namun begitu, pergerakan merentasi daerah dibenarkan menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba.

Maksimum 20 orang untuk aktiviti ziarah

Selain itu, jumlah had maksimum 20 orang yang dibenarkan untuk aktiviti menziarah pada satu-satu masa sewaktu sambutan hari raya dan hanya melibatkan ahli keluarga sahaja.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham berkata, pelawat tidak digalakkan untuk datang ke rumah selain perlu mematuhi garis panduan sambutan aidilfitri yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Penjarakan sosial masih perlu dipraktikkan

”Isu dia bukan nombor 20 orang, tetapi isu dia 20 adalah saudara-mara. Kalau kita lihat, garis panduan KKM yang pertama ialah penjarakan sosial”.

”Jadi nombor itu ialah relative iaitu bergantung kepada rumah kita. Sekiranya apartment kita kecil, kita kena buat target visiting daripada keluarga kita”.

Ahli keluarga, bukan pelawat datang ke rumah

”Yang kita katakan adalah ahli keluarga, kita bukan katakan pelawat datang ke rumah”.

“Kita tak menggalakkan perhimpunan, kita tak mengalakkan pelawat-pelawat datang ke rumah tetapi ini ahli keluarga ada yang 10 orang, ada yang 15 orang, ada yang 20 orang,” ujar beliau lagi.

Jika tidak lakukan penjarakan sosial, dikira langgar SOP

Ujar Dr Noor Hisham lagi, walaupun mematuhi jumlah had maksimum tetapi tidak melakukan penjarakan sosial, ianya tetap dikira melanggar SOP daripada KKM.

”Apa yang pasti ialah kita kena ikut SOP Kementerian Kesihatan iaitu penjarakan sosial. Kalau dalam apartment 20 orang tu dah kira crowded space, jadi dah melanggar peraturan atau SOP Kementerian Kesihatan”.

”Apa yang penting dalam tempoh masa tersebut yang penting penjarakan sebagaimana Perdana Menteri menyatakan iaitu kita kena pastikan penjarakan sosial diamalkan di rumah contohnya,” ujar beliau.

Warga emas perlu dilindungi

Selain itu, warga emas juga perlu dilindungi sewaktu aktiviti ziarah-menziarahi kerana mereka merupakan golongan yang paling berisiko dijangkiti Covid-19.

”Apabila ada kalangan mereka yang melawat ataupun datang ke rumah, pastikan penjarakan, pastikan kita lindungi warga emas contohnya”.

Tak ada salam-salam, tak ada cium-cium

Jadi tak ada salam, tak ada cium-cium, dan pastikan penjarakan itu satu meter”.

“Kita boleh amalkan sebelum masuk rumah, cuci tangan dulu, guna sabun ataupun guna hand sanitizier”.

Lindungi ibu bapa dan datuk nenek yang sudah tua

“Walaupun ahli keluarga pastikan kita lindungi warga emas iaitu ibu bapa kita ataupun nenek dan datuk kita sebab kalau kita lihat jumlah kes kematian yang kita ada setakat ini 60 tahun ke atas lebih daripada 50%,” jelas beliau.

Menerusi perutusan khas Perdana Menteri pada 10 Mei, beliau mengumumkan aktiviti ziarah-menziarahi dibenarkan dalam kalangan jiran terdekat dan keluarga.

Namun begitu, ia hanya untuk mereka yang tinggal dalam negeri yang sama dengan had maksimum 20 orang pada satu-satu masa.